Khamis, 28 Januari 2016 | 7:57am

Rangka manusia berselerak di bekas tapak penyembelihan


ANGGOTA polis unit forensik dan pakar patologi Hospital Melaka menjalankan siasatan pada tshirt yang ditemui berhampiran lokasi penemuan rangka manusia di kawasan belukar berhampiran bekas tapak penyembelihan haiwan Jabatan Veterinar Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Rangka manusia dipercayai seorang lelaki ditemui berselerak di bekas tapak penyembelihan berhampiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, di sini, petang semalam.

Difahamkan, rangka milik lelaki berusia antara 20 tahun dan 30 tahun yang ditemui di kawasan belukar itu sudah berada di situ dalam tempoh di antara sebulan hingga tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata sejurus menerima maklumat awam, sepasukan anggota dari Unit Forensik dan Pakar Patologi Hospital Melaka bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, siasatan awal menemui kira-kira 70 bahagian rangka manusia dalam keadaan berselerak di beberapa lokasi berbeza, termasuk di satu lokasi terletak pada jarak kira-kira 300 meter.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, selain sehelai seluar denim berwarna gelap dan kemeja-T berwarna merah, masing-masing terletak kira-kira dua meter dan 300 meter dari rangka berkenaan.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian lewat, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya yang mula mengawasi kawasan itu akan menyambung semula operasi awal pagi ini bagi mencari baki 30 peratus bahagian rangka berupa anggota tangan kiri, tulang rusuk dan tulang belakang.

"Sehubungan itu, polis memohon sesiapa yang kehilangan waris supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau merujuk Pegawai Penyiasat Chin Mui Chu di talian 019-6233410," katanya.

Berita Harian X