Rabu, 27 Januari 2016 | 9:15pm

Kaedah berkesan membasmi denggi


DATUK Muhammad Pehimi Yusof. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengenal pasti kaedah berkesan untuk mengurangkan wabak denggi yang semakin meningkat di negeri ini, iaitu dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, kaedah itu dilihat lebih berkesan berbanding melakukan penyemburan asap.

"Tumpuan utama peserta gotong-royong selama tiga hari yang bermula esok ialah menghapuskan tempat pembiakan dan telur aedes.

"Telur Aedes boleh hidup dan membiak dalam takungan air bersih selama enam bulan.

"Saya dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kaedah terbaik untuk menyekat peningkatan denggi ialah menghapuskan 100 peratus telur dan tempat pembiakan selepas usaha mengenal pasti vaksin paling berkesan sukar dilakukan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Program Jaya Diri (PJD) di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di sini, hari ini.

Muhammad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan melancarkan Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri di Kampung Bukit Besar, esok.

20 dibaca
Berita Harian X