Rabu, 27 Januari 2016 | 3:06pm

7 termasuk MPV polis terbabit kemalangan di PD


KEADAAN kereta PROTON Waja yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa tanah. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Sebuah lori tanah yang hilang kawalan merempuh sebuah kereta, seterusnya mengakibatkan kemalangan lima lagi kenderaan lain, termasuk sebuah kereta peronda polis (MPV) di Kilometer 5.8 Jalan Seremban-Port Dickson, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha, berkata dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, lori terbabit yang dipercayai mengalami kerosakan brek melanggar sebuah kereta dan terbalik, menyebabkan muatan tanah jatuh ke atas jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan lima lagi kereta, termasuk MPV polis yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu berlanggar satu sama lain.


KENDERAAN polis yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5.8 Jalan Seremban-Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

"Pemandu lori terbabit yang berusia 27 tahun patah kaki akibat tersepit dalam kenderaan berkenaan dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut, manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak cedera," katanya.

Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang lebih dua kilometer di kedua-dua arah menghala ke Seremban dan Port Dickson selama hampir tiga jam dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X