Rabu, 27 Januari 2016 | 1:02am

Turki boikot rundingan damai Syria jika PYD dijemput

MENTERI Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berucap pada sidang akhbar di Ankara, Turki. - Foto AP

ANKARA: Turki akan memboikot rundingan damai Syria yang dirancang akhir bulan ini di Geneva jika kumpulan Kurdis Syria, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dijemput, kata Menteri Luarnya, Mevlut Cavusoglu semalam.

Cavusoglu dalam satu temuramah langsung di stesen televisyen persendirian NTV berkata, jika PYD dijemput sudah pasti pihaknya akan memboikot rundingan di Geneva, sambil menambah kumpulan itu dianggap sebagai "organisasi pengganas" yang tidak boleh mewakili rakyat Syria.

"Tidak boleh wujud elemen PYD dalam pasukan rundingan. Organisasi pengganas seharusnya tidak perlu ada. Turki mempunyai pendirian yang jelas," katanya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam menghantar jemputan untuk rundingan baharu di Geneva Jumaat ini namun tidak menyebut kumpulan mana yang dipanggil.

Tidak jelas jika PYD, parti Kurdis paling berkuasa di Syria, menerima jemputan.

Turki, penyokong kuat pembangkang Syria, menentang PYD dan sayap bersenjatanya, Unit Perlindungan Rakyat (YPG) daripada mengambil bahagian dalam rundingan disokong PBB itu.

"Kami menentang YPG dan PYD, yang menindas puak Kurdis, untuk duduk semeja," kata Perdana Menteri Ahmet Davutoglu kepada pembuat dasar parti pemerintah di parlimen sebelum itu. - AFP

Berita Harian X