Selasa, 26 Januari 2016 | 7:06pm

Siti dominasi pencalonan Anugerah Meletop Era 2016


DATUK Siti Nurhaliza. - Foto Munira Abdul Ghani

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, mendominasi senarai Top 5 Anugerah Meletop Era (AME) 2016 dengan empat pencalonan.

Beliau menjadi calon akhir dalam kategori Lagu Meletop (Terbaik Bagimu), Penyanyi Meletop, Grup/Duo Meletop dan Bintang Online Meletop.

Mengulas pencalonannya itu, dengan nada teruja Siti berkata, semuanya takkan berlaku tanpa sokongan peminat setianya.

"Alhamdulillah, Siti bersyukur kerana masih diterima dengan baik dan terus dicalonkan dalam anugerah ini.

"Penghargaan seharusnya diberikan kepada semua peminat Siti, Sitizoners, kerana tidak pernah jemu menyokong kerjaya Siti dari dulu hinggalah ke hari ini," katanya kepada BH Online.

Mengekor rapat di belakang penyanyi itu ialah Zizan Razak, Ayda Jebat, Johan, Shaheizy Sam, Emma Maembong dan naib juara Akademi Fantasia 2015, Syamel, apabila masing-masing menerima tiga pencalonan dalam pelbagai kategori.

Majlis pengumuman senarai Top 5 anugerah terbabit diadakan di Bandar Sunway, di sini, sebentar tadi. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Format & Program Realiti Astro, Namanzee Harris dan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad.

Senarai lima calon akhir bagi 16 kategori anugerah itu dibuat berdasarkan undian orang ramai menerusi fasa pertama undian, bermula 17 Disember 2015 hingga 15 Januari lalu.

Pemenang bagi kategori Top Top Meletop (Lelaki dan Wanita) pula akan dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi di kalangan lima calon terbaik. Semua pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Masih mengekalkan hosnya sebelum ini, Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad dan Neelofa, malam kemuncak AME 2016 akan turut dihangatkan dengan kemunculan Jihan Muse sebagai pengacara bersama.

Malam kemuncak AME 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur, pada 28 Februari depan. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Berita Harian X