Selasa, 26 Januari 2016 | 6:42pm

20 syarikat swasta berniaga dengan ANGKASA


PENGERUSI Jabatan Perniagaan Antara Angkasa, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa (dua dari kanan) menyerahkan surat yang telah ditandatangani kepada Pengarah Eksekutif Vivie-E, Basri Omar (dua dari kiri) sambil disaksikan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (tengah) sempena Majlis Menandatangani (MoU) Perniagaan Antara Angkasa Kelantan dengan Vivie-E Wellness dan Koperasi Usahawan Bersatu Kelantan dengan V-Biz di Pejabat Angkasa Kota Bharu. - Foto Faris Zanuldin

KOTA BHARU: Kira-kira 20 syarikat swasta mengadakan kerjasama perniagaan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ia satu perkembangan positif apabila semakin banyak syarikat swasta kini mahu mewujudkan perniagaan secara usaha sama dengan koperasi.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan strategi ANGKASA yang kini mahu menjalankan kerjasama strategik dalam meluaskan aktiviti perniagaan lebih 12,000 koperasi di seluruh negara.

Katanya, sebagai contoh, ANGKASA kini menjalankan kerjasama dengan syarikat PETRONAS menerusi Program Kesetiaan PETRONAS Mesra - ANGKASA.

"Menerusi program itu, ahli koperasi akan mendapat mata ganjaran apabila berbelanja menggunakan kad Mesra PETRONAS-ANGKASA di stesen minyak PETRONAS.

"Sebenarnya kami menerima ratusan permohonan daripada pelbagai syarikat swasta untuk mengadakan kerjasama dalam bentuk pakatan strategik bagi beberapa bidang perniagaan.

"Kita juga sedang menilai dan akan berbincang supaya saham syarikat yang ingin bekerjasama menjalankan perniagaan itu turut dibuka kepada ahli koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) perniagaan antara ANGKASA Kelantan dengan Vivie-E Wellness dan Koperasi Usahawan Bersatu Kelantan Bhd dengan V-BIZ.my di pejabat ANGKASA Kelantan di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Kelantan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, Pengarah Eksekutif Vivie-E, Basri Che Omar dan Pengasas V-BIZ, Ahmad Shahrir Salleh.

Abdul Fattah berkata, kerjasama perniagaan dengan syarikat terpilih dalam pelbagai bidang dan produk, secara tidak langsung turut membantu mengembang serta memajukan lagi koperasi terbabit.

"Langkah ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan mahu melihat koperasi menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

" Pada tahun 2014, koperasi menyumbang RM35 bilion kepada KDNK," katanya.

47 dibaca
Berita Harian X