Selasa, 26 Januari 2016 | 4:05pm

Anzalna kongsi gambar praperkahwinan


GAMBAR praperkahwinan Anzalna Nasir, dan pasangannya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki. - Foto ihsan Momenthis

KUALA LUMPUR: Seperti bakal pengantin lain, pelakon, Anzalna Nasir, dan pasangannya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki, tidak ketinggalan merakam detik indah menerusi sesi fotografi khas sebelum mereka diijabkabulkan.

Pasangan ini menjalani sesi fotografi praperkahwinan itu selama dua hari di pulau peranginan, Langkawi, dua minggu lalu.

Bukan sekadar diterbangkan ke sana menggunakan jet peribadi, mereka yang ditemani keluarga masing-masing sepanjang berada di pulau terbabit turut mendapat tajaan beberapa jenama mewah selain busana pereka tempatan, Ashraff Zainal, bagi menjayakan sesi penggambaran itu.

"Alhamdulillah menjelang hari bahagia ini, rezeki saya murah. Kami memang seronok menjalani sesi fotografi itu. Terima kasih kepada mereka yang sudi menaja dan menjayakan detik indah berkenaan," kata Anzalna yang kelihatan jelita dalam gambar terbabit hasil sentuhan jurusolek, Emmy Agung.

Pelakon Memori Cinta Suraya itu akan diijabkabulkan dengan Hanif pada 21 Februari depan, manakala dua majlis resepsi pula masing-masing akan dilangsungkan pada 27 Februari dan 3 April.

Bagi majlis pertama, pasangan ini bersepakat memilih tema perkahwinan diraja British, manakala konsep tradisional pula akan menghiasi majlis kedua.

"Persiapan juga sudah semakin sempurna. Kami sebenarnya tidak sabar untuk mendirikan masjid. Saya harap semuanya akan dipermudahkan," kata Anzalna yang akan mengenakan rekaan Rizalman Ibrahim, Cosry dan Rizman Ruzaini pada majlis berkenaan.

144 dibaca
Berita Harian X