Rabu, 15 Oktober 2014 | 5:46pm

Doktor Jerman ditahan dalam lubang oleh militan Filipina

MANILA: Salah seorang daripada dua rakyat Jerman yang ditawan kumpulan militan di selatan Filipina berkata dia ditahan di dalam sebuah lubang yang akan menjadi kuburnya sekiranya tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi.

Doktor terbabit dan seorang wanita Jerman diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf pada April lalu ketika kapal layar mereka rosak di Pulau Palawan ketika dalam pelayaran ke Sabah.

Mereka kini ditahan di Pulau Jolo, kubu militan di selatan Filipina.

Jurucakap kumpulan Abu Sayyaf, Abu Rami, berkata kumpulan terbabit akan membunuh doktor berkenaan jam 3 petang Jumaat ini sekiranya wang tebusan 250 juta peso tidak dibayar.

Tuntutan itu turut meminta Jerman menghentikan sokongannya terhadap serangan udara diketuai Amerika Syarikat di Syria.

Rami juga menggesa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario supaya berunding dengan harapan ia mungkin boleh membawa kepada penyelesaian.

"Mereka menyatakan pada Jumaat ini mereka akan bunuh saya," kata doktor berkenaan dalam temubual radio yang dipantau di Bandaraya Zamboanga.

"Saya berada di dalam lubang. Ia adalah lubang besar tiga meter kali lima meter. Mereka memberitahu saya ini kubur saya. Mereka menolak saya ke dalam lubang ini," katanya.

Tambahnya: "Saya berharap saya masih dapat keluar dari sini...saya belum nampak ada sesiapa daripada pihak kerajaan yang cuba menyelamatkan kami."

Katanya, dia menjangkakan berat badannya akan turun kerana tidak ada makanan yang cukup dengan 10 lelaki bersenjata mengawalnya 24 jam sehari.

Ini kali kedua warga Jerman itu bercakap menerusi radio komersial sejak tempoh tuntutan Jumaat lalu berakhir.

Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Gregorio Catapang, kini menempatkan tujuh batalion askar dan marin di pulau berkenaan ketika pihak pegawai pula sedang berusaha untuk mendapatkan pembebasan tebusan terbabit. - REUTERS

Berita Harian X