Selasa, 26 Januari 2016 | 8:38am
PERTAHANAN kelab Liverpool, Dejan Lovren

Lovren kembali perkukuh Liverpool saingan Piala Liga

LIVERPOOL: Pertahanan kelab Liverpool, Dejan Lovren kembali bersama pasukan untuk aksi separuh akhir Piala Liga bertemu Stoke City, namun kelab itu bakal kehilangan seorang lagi tonggak belakang, Nathaniel Clyne akibat kecederaan lutut.

Lovren tidak beraksi sejak mengalami kecederaan pangkal paha pada pusingan pertama separuh akhir 5 Januari lalu yang menyaksikan skuad The Reds menang 1-0, tetapi kini sudah turun menyertai latihan pasukan.

"Selepas tiga minggu, Dejan menghabiskan sesi penuh latihan pasukan," kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Ia sesuatu yang bagus tetapi selepas tiga minggu (tersisih daripada pasukan), kita akan lihat bagaimana."

Clyne pula cedera ketika meraih kemenangan 5-4 ke atas Norwich City, Sabtu lalu dan ini mungkin akan menyaksikan Jon Flanagan akan membuat penampilan dalam kesebelasan utama sejak hujung musim 2013/14 selepas menjalani pembedahan lutut.

"Clyne mengalami perlanggaran di bahagian lutut. Dia seorang yang kuat dan sentiasa bersedia tetapi dia tidak akan menyertai latihan."

"Dia bersedia untuk bermain tetapi adalah lebih baik sekiranya dia berada dalam keadaan betul-betul bersedia." - Reuters

Berita Harian X