Isnin, 25 Januari 2016 | 10:48pm
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit didalam kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bintangor-Sarikei, Simpang Jalan Sing Ba, Bintangor. - Ihsan Bomba dan Penyelamat

Empat maut, kereta bertembung lori di Bintangor


ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit didalam kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bintangor-Sarikei, Simpang Jalan Sing Ba, Bintangor. - Ihsan Bomba dan Penyelamat

BINTANGOR: Empat maut manakala seorang parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori kontena di simpang Sing Ba, Jalan Bintangor-Sibu, di sini, petang Isnin.

Keempat-empat mereka yang maut ialah pemandu kereta, Wong Ching Chiang, 22 dan tiga penumpang iaitu Wong Ching Soon, 15; Henry Ling Jun Hong, 15 dan Su Kee Chuo, 65.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, empat mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita warga emas maut di tempat kejadian, manakala seorang remaja perempuan yang duduk di belakang, parah.

Remaja perempuan yang parah dikenali sebagai Kerry Ling Chen Yu, 11, manakala pemandu dan kelindan lori yang kedua-dua mereka berumur 28 tahun tidak cedera.

Pegawai Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Deputi Superintendan Alexon Naga, berkata siasatan awal mendapati, pemandu kereta yang dinaiki lima mangsa tiba-tiba hilang kawalan setiba di tempat kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta PROTON Saga FLX yang dinaiki mangsa dari arah Bintangor menghala ke Sibu, terbabas menyebabkannya bertembung dengan lori yang datang dari arah Sibu.

"Ketika kejadian, keadaan jalan licin kerana selepas hujan. Semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat manakala remaja yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X