Rabu, 15 Oktober 2014 | 5:06pm

EGM MAS pada 6 November ini

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 6 November bagi membolehkan pemegang saham minoriti mengundi berhubung rancangan pengurangan modal berbayar dan terbitan syarikat.

Syarikat penerbangan nasional itu mencadangkan modal berbayar dan terbitannya dikurangkan kepada RM1.16 bilion terdiri daripada 11.59 bilion saham biasa daripada RM1.67 bilion terdiri daripada 16.71 bilion saham biasa.

"Akaun premium saham syarikat penerbangan itu turut dikurangkan kepada RM865.59 juta daripada RM1.74 bilion," kata Malaysia Airlines System Bhd dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

MAS berkata harga tawaran pembayaran balik dan pengurangan modal terpilih (SCR) 27 sen membawa premium antara 6.4 sen dan 12.6 sen kepada nilai saksama antara 14.4 sen dan 20.6 sen sesaham.

"Cadangan SCR menawarkan peluang kepada pemegang saham yang layak untuk merealisasikan pelaburan mereka pada premium berbanding harga pasaran purata wajaran saham MAS pada enam bulan lalu," katanya.

Pada 29 Ogos lalu, pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd mengumumkan pelan pemulihan 12 perkara yang dijangka menelan belanja RM6 bilion, yang mana antara lain sebuah syarikat baharu (NewCo) akan diperkenalkan pada Julai 2015 bagi menggantikan syarikat MAS sedia ada (OldCo).

Antara langkah penstrukturan itu adalah memberhentikan kira-kira 6,000 pekerja daripada 20,000 keseluruhan pekerja MAS ketika ini dengan baki 14,000 pekerja dan aset sedia ada akan dipindah milik kepada NewCo.

Khazanah yang kini menguasai 69.3 peratus kepentingan, menawarkan membeli baki saham tidak dimilikinya pada 27 sen sesaham bagi menjadikan MAS anak syarikat milik penuhnya.

Berita Harian X