Isnin, 25 Januari 2016 | 1:49pm

Kerja bersih sisa bauksit siap lebih awal

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) memberi jaminan kerja membersihkan sisa dan debu bauksit sejak 14 Januari lalu akan selesai sepenuhnya 5 Februari ini. 

Ia bermula di persimpangan Bukit Goh hingga ke Pelabuhan Kuantan sepanjang 45 kilometer yang kini sudah 60 peratus siap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata, operasi berkenaan dilakukan setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad membabitkan 25 hingga 30 anggota daripada empat balai JBPM di daerah ini.

Ia turut membabitkan pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Penjara, Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang serta Alam Flora Sdn Bhd melancarkan lagi operasi berkenaan.

Katanya, pembersihan bukan saja tertumpu di atas jalan raya malah membabitkan semua papan tanda termasuk pembahagi jalan yang sebelum ini tidak jelas dilihat.

"Kita juga memberi perkhidmatan membersih sisa dan debu bauksit yang melekat pada lantai premis perniagaan di sepanjang jalan Bukit Goh hingga ke Pelabuhan Kuantan. 

"Hujan sekejap-sekejap sejak beberapa hari lalu juga membantu mempercepatkan proses pembersihan," katanya ditemui pada Majlis Perbarisan Tahunan 2016 JBPM Pahang, di sini, pagi tadi.   

Berita Harian X