Isnin, 25 Januari 2016 | 12:46pm

Van Gaal hilang sokongan majoriti pemain


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal. - Foto Reuters

MANCHESTER: Louis van Gaal hampir pasti kehilangan kerjanya selepas muncul dakwaan bahawa Ed Woodward sudah mengumpul pemain senior untuk mendapat penjelasan mengenai kaedah pengurus Manchester United itu.

Woodward yang juga Naib Pengerusi Eksekutif kelab itu dilaporkan bercakap dengan beberapa individu berikutan kejatuhan prestasi yang menyebabkan United dipisahkan lima mata dengan slot Liga Juara-Juara.

Bencana kekalahan 1-0 kepada Southampton di Old Trafford kelmarin meningkatkan lagi tekanan ke atas pengendali kelahiran Belanda itu selepas sebelum ini mencatat beberapa keputusan kurang memberangsangkan.

Woodward sedar pemain sudah mula tidak memberi reaksi balas kepada kaedah Van Gaal dan sedang mempertimbangkan untuk menggantikannya dengan Ryan Giggs sehingga akhir musim ini.

Giggs mungkin masih kekal sebagai pilihan utama United walaupun 'bunyi bising' daripada kem Jose Mourinho sejak seminggu ini yang mengesahkan minat terhadap pasukan terbabit.

Van Gaal sudah kehilangan sokongan majoriti pemain dalam bilik persalinan dan situasi panik itu memaksa pihak pengurusan United melakukan sesuatu.

Giggs pernah mengemudi United ketika saingan berbaki empat perlawanan dua tahun lalu berikutan pemecatan David Moyes, tetapi difahamkan dia enggan sekali lagi dilantik selaku pengendali sementara.

Bekas pemain sayap United itu, yang kini bertindak sebagai penolong Van Gaal, mahu sokongan penuh lembaga kelab untuk mengubah nasib pasukan terbabit.

Ini bermakna Giggs mahu diberikan kuasa tunggal ke atas pasukan selain perbelanjaan perpindahan untuk memenuhi hasratnya dalam menjadikan United kuasa besar sekali lagi. - AGENSI

Info

United di bawah kendalian Louis van Gaal

Perlawanan: 78

Menang: 31

Seri: 29

Kalah: 18

Berita Harian X