Isnin, 25 Januari 2016 | 8:19am

Gomez kenal pasti kesebelasan utama JDT

KETUA jurulatih JDT, Mario Gomez.- Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Aksi terakhir persahabatan pra musim Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan Geylang International FC, malam esok amat penting untuk mengenal pasti kesebelasan utama bagi menghadapi Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2 Februari ini.

Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez menegaskan perlawanan itu akan memberi bayangan skuad utama untuk menentang Muangthong United FC pada aksi pusingan kedua kelayakan ACL di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, Thailand.

Katanya, belum ada kepastian lagi sama ada perlawanan persahabatan itu akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin atau di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam kerana semuanya akan diputuskan sebelum perlawanan.

"Saya mahu perlawanan itu diadakan di stadium kerana inginkan penyokong hadir untuk menyaksikan aksi JDT dan kelab dari Singapura itu.

"Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, kami terpaksa menerima untuk beraksi di Padang Seri Gelam. Pada perlawanan itu nanti, saya kemungkinan hanya menukar dua atau tiga pemain sahaja kerana mahu pemain yang beraksi sebagai pemain utama ACL.

"Selepas dua aksi persahabatan di Thailand, saya sudah kenal pasti kelemahan dan kekuatan setiap pemain. Situasi itu memberi peluang untuk saya meningkatkan lagi kualiti permainan," katanya semalam.

Gomez juga menegaskan tempoh 10 hari untuk membentuk barisan mantap tampak begitu mencabar, namun hasil sokongan setiap pemain yang sentiasa memberi kerjasama memudahkan tugasnya untuk membentuk keserasian di antara pemain bagi persiapan kelayakan ACL dan Liga Malaysia (Liga M).

Beliau berkata, pada musim ini dengan kehadiran beberapa pemain baharu memberi peluang untuknya membuat pilihan dalam usaha membentuk barisan mantap berbanding pada musim lalu.

"Jika pada musim lalu saya tidak banyak pilihan pemain tatkala hanya ada dua pemain sahaja di setiap posisi, kini saya amat lega kerana ada tiga dan empat pemain untuk mengisi posisi sama ada barisan serangan, tengah dan pertahanan.

"Kelibat Mohd Azinee Taib beraksi di posisi sayap kiri tampak begitu berkesan malah pemain itu juga boleh beraksi di posisi serangan manakala Paulo Rangel juga perlu bekerja keras lagi untuk meningkatkan tahap kecergasan selepas berehat agak panjang," katanya.

Berita Harian X