Isnin, 25 Januari 2016 | 12:05am
SEBAHAGIAN daripada penjawat awam ketika menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kongsi idea aktifkan ekonomi negara

DENGAN harga minyak dunia semakin menurun selain hambatan ekonomi global, kerajaan terpaksa mengubahsuai Bajet 2016. Dalam pada itu, pelbagai saranan diutarakan khususnya untuk mengekang kenaikan kos sara hidup. Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan komen Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Ketua Ekonomi, Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias.

  • Datuk Azih Muda

S: Apa komen Datuk mengenai langkah berjimat-cermat termasuk pengurusan penjawat awam dan pengubahsuaian Bajet 2016?

J: Kerajaan kena menilai semula bajet. Kurangkan perbelanjaan yang tidak membabitkan soal kehidupan rakyat seperti sektor kesihatan. Kita tidak mahu disebabkan bajet dikurangkan, ramai yang sakit kerana tidak mampu mendapatkan rawatan dan harga ubat mahal. Ini akan menyebabkan persaingan tidak sihat antara sektor swasta dan kerajaan. Akhirnya akan wujud jurang orang kaya dan miskin. Begitu juga soal kemudahan asas. Kerajaan juga kena melihat aspek duti, adakah duti import dan eksport perlu dikurangkan atau dinaikkan. Perlu juga menilai semula projek bertindih, contohnya terlalu banyak agensi yang membina dan menaik taraf jalan raya, seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, pihak berkuasa tempatan (PBT). Mungkin aspek ini boleh diteliti semula untuk kurangkan perbelanjaan. Bukannya dengan mengurangkan bajet untuk jamuan kecil ketika mesyuarat. Projek mega perlu dikurangkan tetapi bukannya ditutup terus. Kita lihat hari ini agak pelik, tambang kapal terbang harga RM38 tetapi ERL tambangnya RM58. Dalam soal ini tiada siapa yang salah, tiada siapa yang betul. Yang silapnya perjanjian kontrak projek itu dan perunding kerana gagal melihat prospek dan kesan kepada rakyat untuk masa akan datang.


PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda

S: Ketika nilai ringgit jatuh, bukankah kita sepatutnya mengawal pengaliran wang ke luar negara?

J: Jika perlu, hadkan jumlah yang perlu ada dalam pasaran pekerjaan. Kaji perkara ini dalam semakan bajet. Pastikan sempadan dikawal untuk mengelak penyeludupan pendatang tanpa izin. Melalui kawalan pekerja asing ini, ia akan mengawal pengaliran keluar ringgit. Walaupun nilai ringgit jatuh, tetapi masih ramai warga asing yang mahu datang ke Malaysia. Sebab apa?. Kerana di Malaysia, masih banyak 'gula' yang bagus untuk mereka iaitu sumber ekonomi dan peluang pekerjaan yang cukup besar.

S: Jadi, bagaimana kerajaan dan rakyat perlu lakukan untuk mengaktifkan ekonomi ekonomi negara?.

J: Inilah detik terbaik untuk ahli politik kita turun ke padang, menilai rakyat dan meneroka cadangan baru bagaimana nak tingkatkan ekonomi. Hari ini, mereka lebih banyak menyalahkan, bukannya memperbaiki. Lihatlah politik di Amerika Syarikat (AS), mereka bertelagah hebat ketika kempen pilihan raya tetapi selepas ini, mereka bekerjasama dengan kerajaan, berkongsi idea yang sesuai untuk negara. Mereka akan berselisih semula apabila tiba musim kempen pilihan raya seterusnya. Tetapi di Malaysia, kita berpolitik 24 jam, sepanjang musim, dari kedai kopi hingga ke menara pencakar langit. Cuepacs ingin mengajak penjawat awam supaya memberikan komitmen kepada tugas, kurangkan masa untuk perkara remeh dan kembali tingkatkan prestasi. Sekurang-kurangnya dalam masa mungkin dua tahun ekonomi suram ini, kita masih mampu bertahan.

S: Komen mengenai cadangan pakar supaya gaji dibayar dua kali sebulan?.

J: Cadangan itu pernah dikemukakan pada tahun 2008, keadaan ekonomi negara pada ketika itu sedang ke arah kemelesetan, sama seperti hari ini iaitu beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Kita tidak boleh melihat cadangan itu sekadar di atas meja saja, atau sekadar kajian saintifik. Mereka (pakar) kena turun ke bawah, melihat bagaimana sukarnya penjawat awam berdepan situasi kos sara hidup yang meningkat. Beban dan tanggungjawab meningkat pada ketika kerajaan berdepan krisis ekonomi. Tidak mungkin Cuepacs atau sesiapa saja akan menuntut kenaikan gaji pada ketika ini kerana kita faham situasi dihadapi kerajaan. Kita menuntut di saat kerajaan mampu dan ketika kerajaan tidak mampu, kita akan menyokong.


DATUK Azih Muda. - Foto Ghazali Kori

S: Jadi, cadangan itu tidak sesuai?

J: Kita perlu akur bahawa 60 peratus daripada gaji penjawat awam sudah dipotong untuk membayar hutang rumah, koperasi, pinjaman bank, insurans, pengajian, caruman Tabung Haji, komitmen pertubuhan atau badan amal. Gaji bersih cuma berbaki 40 peratus. Bayangkan dengan jumlah itu, ia akan dibayar dua kali sebulan. Andaikan baki bersih cuma RM500 sebulan, maknanya mereka akan menerima RM250. Apa yang boleh dibelanjakan dengan jumlah itu. Kena ingat, setiap bayaran pinjaman contohnya Angkasa dan bank, semuanya akan dikenakan caj setiap kali transaksi. Perkara kecil itu saja sudah menjadi beban, bukannya meringankan. Beban kerja juga akan berganda kerana jabatan kerajaan memerlukan dua sistem pembayaran gaji. Semua itu tidak semudah seperti bercakap soal potongan gaji.

S: Apa cadangan yang lebih baik untuk membantu penjawat awam?.

J: Kenapa tak bayar gaji setiap minggu. Sebabnya, kerajaan perlu bayar untuk 52 minggu berbanding hanya 48 minggu jika membayar dua kali sebulan. Setahun kita ada 12 bulan atau 52 minggu, itu lebih menguntungkan. Tetapi adakah ia rasional jika kerajaan membayar tambahan empat minggu tadi dalam keadaan berdepan situasi ekonomi tidak berapa bagus. Mungkin akan ada yang mendakwa Cuepacs tidak faham dalam soal ini. Kami faham dan menyedari bahawa dalam situasi seperti ini, kami perlu menyokong kerajaan. Kami percaya bahawa sistem bayaran gaji bulanan adalah sistem terbaik. Bagaimana nak mendisiplin orang muda, dewasa atau penerima gaji ini. Mungkin pakar boleh buat kajian, jika memegang wang tunai, berapa lama wang itu boleh berada dalam simpanan. Bandingkan caruman swasta (KWSP) dengan pencen bulanan. Walaupun pencen terkumpul mencecah RM300,000, wang itu mungkin tidak mampu bertahan untuk 10 tahun berbanding jika menerima pencen kecil setiap bulan secara tetap. Jika gaji dibayar dua kali, bagaimana pula dengan pesara kerajaan. Adakah mereka juga akan dibayar dua kali. Ada yang cuma menerima RM250 sebulan. Jika dibayar dua kali, mereka akan terima RM175 dua minggu. Apa yang boleh dibelanjakan dengan duit sebanyak itu.

S: Jika tidak bersetuju, mungkin Cuepacs ada cadangan lain?

J: Saya sangat berbangga jika pakar ekonomi mencadangkan supaya harga barang diturunkan dan meminta kerajaan menaikkan gaji tanpa dituntut. Perkenalkan sistem kenaikan dua tahun atau tiga tahun sekali. Itu lebih relevan sebab ia membabitkan pembiayaan keperluan anggota perkhidmatan awam. Tetapi kita juga tidak menafikan hak 13 juta pekerja sektor swasta. Dalam hal ini, cadangan ini sangat tidak sesuai, sistem akan jadi huru hara. Ini tidak relevan, harus ditolak. Kami akan bantah, tidak bersetuju dan anggap cadangan ini lapuk.

S: Bagaimana dengan cadangan supaya potongan KWSP dikurangkan bagi membolehkan pekerja menikmati gaji lebih tinggi?.

J: Kita imbas sikit isu ini dalam konteks agama. Islam mengajar bahawa kita akan mengalami era tujuh tahun ekonomi bagus dan bersedialah menghadapi era tujuh tahun ekonomi tidak bagus. Apabila ada institusi nak kurangkan caruman gaji dengan alasan kejatuhan perniagaan, kenapa mereka tidak menyimpan untuk berdepan era kemerosotan ekonomi. Bukankah pekerja itulah sebenarnya yang membuatkan mereka meraih untung banyak sebelum ini. Sepatutnya, dalam keadaan sukar, kerajaan dan majikan mesti membantu. Kalau dikurangkan caruman KWSP, apa simpanan yang ada untuk hari tua mereka nanti. Pekerja yang selama ini membantu syarikat meraih kejayaan seolah-olah tidak diiktiraf langsung. Konsep memaksimumkan keuntungan hanya berguna pada masa-masa tertentu saja dan pelaksanaan untuk meminimumkan kos hanya tertumpu kepada pekerja saja. Buang pekerja, potong gaji, potong caruman atau kecilkan saiz perkhidmatan, itu bukan cara nak selesaikan isu. Kita kena tunjukkan bagaimana kita boleh berkorban kerana yang penting ialah survival.

S: Kaedah lain untuk menggerakkan ekonomi domestik?.

J: Kita tahu ramai pekerja dalam kumpulan pelaksana terpaksa merancang untuk menggunakan pendapatan mereka. Mereka menderita kerana ramai yang tidak memiliki rumah tetapi mereka bersedia dalam keadaan kemampuan mereka belum mencapai sasaran lagi. Keduanya, Cuepacs sudah berulang kali melontarkan pandangan kepada kerajaan bahawa walaupun negara mengamalkan ekonomi kapitalis yang bergantung kepada harga pasaran tetapi dalam keadaan tertentu, sepatutnya kerajaan campur tangan supaya harga barangan tidak naik. Kena gunakan kuasa sebagai pengawal. Jangan biarkan situasi ini didominasi demi kepentingan pihak tertentu. Jika boleh, setiap kenaikan barang mesti diumumkan, bukan dinaikkan sesuka hati. Kita tidak mahu situasi di Syria berlaku di Malaysia apabila harga sekilogram beras bernilai RM1,000 disebabkan keadaan yang tegang. Ketika nilai ringgit jatuh, kerajaan harus menggunakan instrumen dalaman negara, kurangkan import. Mungkin dengan cara ini kita akan mampu bertahan kerana tidak terlalu bergantung kepada pihak lain dan putaran ekonomi serta ringgit banyak berkisar di dalam negara sendiri. Ketika ekonomi begitu tertekan, kurangkan import kerana ia dibayar mengikut harga pasaran semasa.

  • Nor Zahidi Alias


S: Apa pandangan saudara dengan suasana ekonomi hari ini yang dilaporkan menimbulkan tekanan kewangan atau pendapatan pekerja. Sejauh manakah kebenarannya dan apa impaknya kepada negara dan rakyat?

J: Kita sedang menempuh suatu keadaan biasa dalam putaran ekonomi iaitu kelembapan. Kelembapan ini dikaitkan kepada beberapa faktor luaran dan dalaman. Dalam faktor luaran, ekonomi global sedang melalui tempoh sukar dan menjejaskan prospek ekonomi yang banyak bergantung kepada eksport untuk negara seperti Malaysia. Di peringkat dalaman, kadar perbelanjaan pengguna berkurangan akibat kenaikan kos sara hidup dan piawaian pinjaman yang lebih ketat ditetapkan oleh institusi kewangan. Mujurlah, pasaran buruh kekal stabil, walaupun berlaku pembuangan pekerja dalam sektor tertentu seperti minyak dan gas.

S: Sejauh mana ketidaktentuan ekonomi negara hari ini memberi kesan kepada pendapatan dan perbelanjaan pekerja?

J: Pertumbuhan perbelanjaan pengguna telah menurun dengan ketara dalam suku ketiga 2015 pada kadar 4.1 peratus, selepas pengembangan yang kukuh 7.6 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun sama. Sikap bersederhana dalam berbelanja menurunkan tahap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke paras lima peratus pada suku ketiga 2015 iaitu sekitar 4.7 peratus sahaja. Bagi mengharunginya, kita menjangkakan perbelanjaan pengguna akan menjadi lebih sederhana sebagai tindak balas terhadap peningkatan harga barangan dan ketidaktentuan ekonomi global. Walaupun perbelanjaan pengguna diunjurkan mengalami pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada tahun ini, risiko penurunan perbelanjaan itu masih kekal. Apa yang turut dibimbangkan kini ialah kemungkinan berlakunya kejatuhan harga minyak sawit dan minyak mentah yang akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia. Ini kerana, secara lazimnya naik turun harga minyak mentah dan minyak sawit biasanya berlaku hampir seiring.

S: Timbul cadangan agar majikan membayar gaji dua kali sebulan di samping caruman KWSP dikurangkan bagi membantu pekerja berdepan kenaikan kos sara hidup. Apa pandangan saudara dengan cadangan ini?

J: Pengurangan sementara caruman KWSP pernah dilakukan sebelum ini. Langkah ini boleh dilakukan lagi sekiranya keadaan menjadi lebih teruk. Walaupun begitu, perlu diingatkan jumlah bilangan pencarum KWSP tidak begitu besar.

S: Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi negara hari ini, apakah tindakan yang wajar dilakukan rakyat untuk menyerap kesan kenaikan kos sara hidup. Apakah wajar rakyat mengubah gaya hidup untuk menyerap tekanan ekonomi hari ini?

J: Bagi sesetengah orang, mereka boleh mengubah tabiat berbelanja. Oleh itu, perbelanjaan ke atas barang mewah memang wajar dikurangkan atau ditangguhkan ketika ini. Walaupun begitu, cabaran utama yang perlu diambil perhatian ialah bagaimana hendak membantu meringankan beban kepada mereka yang sukar berbelanja disebabkan tiada kemampuan dalam erti kata lain mereka hanya mampu berbelanja untuk keperluan asas. Penguatkuasaan lanjut untuk memastikan harga tidak dinaikkan secara tidak wajar boleh membantu kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga atas alasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

S: Apakah pula tindakan yang sesuai dilakukan kerajaan pada masa ini untuk mengurangkan tekanan rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup?

J: Seperti yang dinyatakan, merujuk kepada penguatkuasaan Akta Anti Pencatutan, dalam jangka panjang langkah untuk memperkukuh kemampuan jaringan kewangan rakyat boleh diperkenalkan. Contohnya, membenarkan pengeluaran caruman KWSP untuk membayar insurans perubatan memandangkan kos perubatan meningkat disebabkan faktor usia, selain syarat tertentu dikenakan mengikut insurans untuk penganggur.

S: Pada pandangan saudara, berapa lamakah keadaan ketidaktentuan ekonomi ini akan berlaku dan apakah alternatif yang boleh dilakukan rakyat untuk menjana pendapatan sampingan mereka?

J: Perkara itu tidak dapat diketahui sampai bila akan berlanjutan. Namun berdasarkan sejarah di Malaysia, tempoh pusingan permasalahan ini biasanya berlangsung tidak lebih setahun dua.

Berita Harian X