Ahad, 24 Januari 2016 | 1:24pm

Patuhi SOP sebelum buka semula kawasan air terjun


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Aswasi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu meminta Jabatan Perhutanan negeri mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan sebelum membuka semula empat daripada 17 kawasan air terjun di seluruh negeri kepada orang awam.

Antara langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian ialah memperbanyakkan pemasangan papan tanda amaran dan mengenal pasti kawasan berbahaya untuk mandi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Jabatan Perhutanan juga diarah menempatkan pegawai dan anggota pertolongan cemas, selain memasang siren kecemasan sebagai tanda 'kepala air' berlaku untuk memudahkan pengunjung menyelamatkan diri.

Katanya, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga diminta mengenal pasti lokasi takungan air di puncak bukit serta membina benteng bagi menyekat terjahan air.

"Kita sudah menerima permohonan untuk membuka semula empat daripada 17 kawasan air terjun dikendalikan Jabatan Perhutanan negeri.

"Jika semua syarat itu dipatuhi, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan permohonan untuk membuka semula kawasan perkelahan air terjun awal bulan depan," katanya.

Selasa lalu, Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Azmi Nordin dilaporkan berkata, pihaknya memohon kebenaran kerajaan negeri untuk membuka semula empat kawasan rekreasi air terjun berikutan permintaan pengunjung.

Pada akhir Disember tahun lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua kawasan perkelahan air terjun ditutup sehingga Mac depan berikutan kejadian lima sekeluarga lemas ketika berkelah di kawasan perkelahan Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

Ahmad Razif berkata, Jabatan Perhutanan memohon kelulusan untuk membuka semula kawasan rekreasi air terjun Chemerong (Hulu Dungun), Sekayu (Hulu Terengganu) dan Lata Tembakah serta Lata Belatan (Besut) awal bulan depan.

18 dibaca
Berita Harian X