Ahad, 24 Januari 2016 | 8:59am

Mourinho hantar surat nak sertai United

JOSE Mourinho.

LONDON: Jose Mourinho menulis surat enam muka surat kepada Manchester United yang menyatakan kelayakannya untuk menggantikan Louis van Gaal, yang kini berdepan kemungkinan dipecat sebagai pengurus, lapor media, semalam.

The Independent mendakwa Mourinho yang berusia 52 tahun, tiada pekerjaan sejak berpisah dengan Chelsea pada Disember lalu, menggariskan secara terperinci pelan tindakan untuk memulihkan semula reputasi gergasi Old Trafford yang merosot dan terbaharu tewas 0-1 kepada Southampton.

Tindakan Mourinho dilaporkan berhubung dengan United adalah saat menarik selepas peminat di Old Trafford mencemuh pasukan mereka di luar padang selepas kekalahan terbaharu itu.

Menurut laporan itu, jurulatih kelahiran Portugal itu menggunakan surat untuk menyatakan komitmennya bagi menyesuaikan gaya pengurusan dan bagaimana dia akan merombak skuad.

Mourinho dikaitkan dengan jawatan di United sebelum ini apabila Alex Ferguson meninggalkan kelab terbabit dan diganti oleh David Moyes pada tahun 2013.

Selain dua tempoh yang singkat di Chelsea, Mourinho juga pernah melatih Porto, Inter Milan dan Real Madrid. - AFP

Berita Harian X