Ahad, 24 Januari 2016 | 12:09am
KILAFAIRY teruja apabila dimaklumkan nyanyiannya menerima pujian Shah Rukh Khan daripada memikirkan komen negatif pihak yang tidak pernah berpuas hati dengan kemunculannya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kilafairy dicemuh kerana lagu Dilwale

PELAKON yang menerima jolokan sebagai Angelina Jolie Malaysia, Kilafairy tidak patah semangat dicemuh dan dikritik apabila didakwa segelintir peminat gagal mempamerkan mutu nyanyian terbaik ketika merakamkan lagu tema filem Dilwale, Gerua dalam versi bahasa Melayu.

Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan, 23, berkata, semua kritikan itu tidak melemahkan dirinya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian kerana yakin mempunyai bakat tersendiri.

Akur tidak mampu memuaskan hati semua pihak, Kilafairy menerima kritikan peminat itu sebagai cabaran untuk terus teguh berdiri dalam bidang seni. Baginya, setiap orang bebas melontarkan pandangan mereka namun dirinya tidak akan sesekali tunduk dan lemah dengan kritikan.

Kilafairy sebelum ini dikritik apabila gagal mempamerkan mutu vokal setara dengan rakan duetnya, Aliff Aziz ketika merakamkan semula lagu Gerua dalam versi Melayu yang diberi judul Warna Cinta.

Tempias fenomena Dilwale lakonan Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol itu secara tidak langsung membantu mengangkat nama Kilafairy apabila diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema produksi terbabit dalam versi Melayu.


KILAFAIRY tidak patah semangat dicemuh dan dikritik apabila didakwa gagal mempamerkan mutu nyanyian terbaik. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KILAFAIRY menerima kritikan peminat sebagai cabaran dalam bidang seni. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ia terbukti apabila muzik video Warna Cinta yang dimuat naik di laman sosial, YouTube mencatat lebih sejuta tontonan sejak 18 Disember lalu.

"Saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Lumrah hidup anak seni, ada saja perkara yang menjadi bualan ramai. Dalam ramai yang memuji gandingan kami, pasti ada yang kurang gemar dan mempertikaikannya. Terserah kerana bagi saya, setiap penyanyi mempunyai cara nyanyian yang tersendiri.

"Untuk menghidupkan karakter lagu Hindi terbabit, saya menggunakan teknik suara khas dan mungkin sesetengah pihak kurang maklum dengan cara itu. Perkara ini terlebih dulu saya bincang dengan syarikat rakaman, Sony Music Malaysia dan ia dibuat atas persetujuan bersama.

"Mereka tiada masalah dengan cara nyanyian saya itu kerana ia bersesuaian dengan karakter lagu. Saya tidak ambil pusing kritikan negatif ini kerana ia langsung tidak membantu perkembangan kerjaya saya. Lagipun, saya tidak mampu berbuat apa-apa sekiranya individu itu tidak menyukai saya," katanya kepada BH.

Anak kepada Juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil itu menjelaskan dirinya lebih teruja apabila dimaklumkan nyanyiannya menerima pujian Shah Rukh Khan daripada memikirkan komen negatif pihak yang tidak pernah berpuas hati dengan kemunculannya dalam bidang seni.


KILAFAIRY bersama pasangan duetnya, Aliff Aziz yang merakamkan semula lagu Gerua dalam versi Melayu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Semuanya bermula apabila peminat memaklumkan kepada Raja Bollywood itu mengenai lagu nyanyian kami di Twitter.

"Saya tidak menyangka beliau (Shah Rukh Khan) sedia meluangkan masa untuk mendengar lagu itu dan memberikan pujian terhadap cara nyanyian saya serta Aliff.

"Biarpun komen yang dibalas itu pendek dan ringkas, ia cukup bererti terutama kepada penggemar filem Hindustan seperti saya. Shah Rukh Khan adalah hero pujaan saya sejak dulu lagi.

"Filem Hindustan sudah sebati dalam diri mungkin kerana saya berdarah kacukan Pakistan. Sejak kecil lagi saya didedahkan dengan lagu Bollywood dan ia membuatkan saya begitu meminati filem dan lagu Hindi," kata Kilafairy.

Kilafairy juga bersemangat menjadikan musim 2016 sebagai tahun untuk memantapkan lagi perancangan kerjaya nyanyiannya apabila bakal tampil dengan beberapa single yang diterbitkan oleh Sony Music.

33 dibaca
Berita Harian X