Sabtu, 23 Januari 2016 | 6:36pm

Kobis Pedas dedikasi kemenangan kepada arwah Yus Jambu


KUMPULAN Kobis Pedas diumumkan sebagai juara program realiti, Juara Parodi. - Foto Saifulizan Tamadi

SHAH ALAM: Kumpulan Kobis Pedas tidak mampu menahan tangisan apabila diumumkan sebagai juara program realiti, Juara Parodi kerana terkenang perjuangan rakan mereka, Allahyarham Yusri Eddo atau Yus Jambu yang terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi.

Ditemui selepas kemuncak acara yang berlangsung di Bangunan Teater Shah Alam, di sini, malam tadi, Kobis Pedas yang dianggotai Misha Omar dan Tauke dedikasikan kemenangan itu kepada arwah yang menjadi penguat semangat untuk mereka meneruskan perjuangan.

"Semua ini kami teruskan demi arwah. Arwah adalah semangat kami dan ini memang apa yang dimahukan olehnya," kata Tauke yang tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya.

Misha yang turut berada di sisinya berkata, kenangan dan ingatan terhadap arwah semakin kuat seolah-olah dirinya ada bersama mereka terutama sehari sebelum pertandingan berakhir.

"Disebabkan itu, saya dan Tauke tidak dapat menahan air mata sebaik diumumkan sebagai juara. Arwah seolah-olah ada bersama untuk meraikan apa yang kami perjuangkan selama ini," katanya kepada BH Online.


KOBIS Pedas yang dianggotai Misha Omar dan Tauke. - Foto Saifullizan Tamadi

Yus pernah berjuang bersama kumpulan itu sebelum meninggal dunia akibat sakit jantung pada 30 November tahun lalu. Hasil kemenangan mereka, Kobis Pedas membawa pulang hadiah wang tunai RM300,000 selain memenangi kategori pilihan SMS penonton yang menawarkan RM25,000.

Misha dan Tauke juga sepakat memperuntukkan sejumlah wang kemenangan itu untuk meneruskan kerja amal yang telah dilakukan oleh arwah Yusry ketika hayatnya.

Tauke turut menyifatkan kemenangan itu amat bermakna terutama bagi kumpulan Jambu kerana ia menjadi impian bersama mereka sejak menyertai industri hiburan tanah air.

"Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia memenuhi (impina) arwah selama berada dalam industri hiburan. Walaupun sedih Pak Yus tidak bersama meraikannya, saya yakin dia gembira," katanya.

Datuk Hattan yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga bersama Ajak Shiro melalui kumpulan mereka Juri, turut melahirkan rasa gembira dengan kemenangan kumpulan Kobis Pedas.

"Saya memang berdoa supaya mereka menang kerana tahu ia antara impian besar arwah. Mereka memang layak," katanya.

Kobis Pedas menewaskan empat kumpulan lain iaitu Abang Face, Juri, Righthanded dan Selamba Blur.


KOBIS Pedas menewaskan empat kumpulan lain iaitu Abang Face, Juri, Righthanded dan Selamba Blur. - Foto Saifulizan Tamadi

Program itu turut menampilkan Afdlin Shauki dan Datuk Zainal Abidin sebagai juri tetap manakala Datuk AC Mizal sebagai juri jemputan.

Juara Parodi yang berkonsepkan realiti komedi muzik menampilkan gabungan penyanyi popular dan pelawak dalam satu kumpulan dan memerlukan peserta menukar lirik lagu kepada komedi mengikut genre yang ditetapkan.

30 dibaca
Berita Harian X