Sabtu, 23 Januari 2016 | 3:09pm

Terengganu cari jalan tangani wabak denggi - MB


AHMAD Razif (tengah) pada majlis Gotong-Royong Perdana Memerangi Denggi di Kampung Bukit Kandis, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu akan mengadakan mesyuarat khas untuk menangani kes denggi yang semakin meningkat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata mesyuarat itu akan membincangkan tindakan segera untuk menangani kes denggi yang mengorbankan lima orang dalam tempoh kurang sebulan.

"Terengganu menduduki tangga kelima mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi di seluruh negara sehingga Rabu lalu," katanya ketika ditemui pada majlis Gotong-Royong Perdana Memerangi Denggi di Kampung Bukit Kandis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh dan Pengerusi Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail.

Sehingga semalam, daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 265 kes diikuti Kuala Nerus (65); Dungun (26); Besut (19); Marang (14 kes), Hulu Terengganu (11); Kemaman (lima) dan Setiu (dua).

Ahmad Razif berkata, sebanyak 30 lokaliti wabak yang masih aktif di seluruh negeri dengan 26 adalah wabak terkawal dan empat wabak tidak terkawal.

Bagi lokaliti wabak terkawal, 16 lokaliti adalah di Kuala Terengganu, tujuh lokaliti di Kuala Nerus, dua di Besut dan satu di Dungun.

Empat lokaliti wabak tidak terkawal di Kuala Terengganu ialah di Jalan Panji Alam, Kampung Chendering Pantai, Kampung Gong Tok Nasek Hilir dan Kedai Buloh.

12 dibaca
Berita Harian X