Sabtu, 23 Januari 2016 | 12:24am
HARGA keris buatan Syed Muhammad ada yang dijual RM1,000 hingga mencecah RM30,000 sebilah kerana kehalusan buatannya. - Foto Samadi Ahmad
SYED Muhammad membakar besi pada suhu panas untuk menghasilkan sebilah keris. - Foto Samadi Ahmad

Tukang besi lulusan diploma multimedia

KUALA LUMPUR: Beliau mempunyai diploma dalam bidang multimedia, tetapi mengambil keputusan untuk menjadi tukang besi yang mahir menghasilkan keris sebagai sumber pendapatan.

Kini, lulusan Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech, Syed Muhammad Syed Md Shah, 28, dari Puchong, Selangor, tidak menyesal meninggalkan bidang profesional yang dipelajarinya itu dan berkecimpung dalam seni ketukangan membuat keris sejak tahun 2006.

Harga sebilah keris adalah berbeza, bergantung kepada saiz serta ukiran seninya dan boleh mencapai antara RM1,000 hingga RM30,000 sebilah.

Beliau mula berjinak dalam bidang penghasilan keris sejak berumur 12 tahun dan sering membantu datuknya di kampung mereka ketika cuti sekolah.

Katanya, ilmu daripada datuknya, Abdul Aziz Mat Safa, yang pernah menghasilkan keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja suatu masa dahulu, bukan setakat belajar membuat keris tetapi lengkap dengan hulu serta sarungnya yang diminati untuk perhiasan rumah.

Beliau berkata seni membuat keris bukan kerja mudah kerana ia ialah sejenis senjata tradisi yang sarat dengan nilai seni dan cara pembuatannya pula memerlukan ketekunan serta ketelitian tinggi.


SYED Muhammad tidak menyesal meninggalkan bidang multimedia yang dipelajarinya dan berkecimpung dalam seni ketukangan membuat keris. - Foto Samadi Ahmad

"Arwah datuk saya sangat mahir membuat pelbagai senjata tradisi Melayu seperti keris, lembing, golok dan parang," katanya ketika ditemui di bengkelnya.

Beliau mengakui bidang kesenian itu tidak popular khususnya dalam kalangan golongan muda sepertinya mungkin kerana dilihat tidak mampu untuk menghasilkan pendapatan lumayan.

Katanya, beliau bangga kerana dapat meneruskan warisan kesenian keluarganya pada zaman ramai orang lebih bertumpu kepada gajet dan pelbagai peralatan teknologi maklumat.

Semangat menjadi pewaris meneruskan pembuatan keris Melayu itu terpancar menerusi ketekunan beliau dari segi hasil kerja yang sangat teliti dan penuh nilai estetika, seperti kata pepatah Melayu, 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'.

"Proses untuk menghasilkan sebilah keris sangat berbeza kerana bergantung kepada saiz, keluk dan pamor manakala anggaran masa untuk menyiapkan sebilah keris mungkin memakan masa lebih lima bulan.

"Senjata lain seperti pisau dan parang lebih mudah untuk dihasilkan kerana ia adalah bagi kegunaan harian, yang lazimnya memadai dengan reka bentuk asas," katanya.

Syed Muhammad berkata sebelum mengambil keputusan terbabit dalam seni ketukangan itu, beliau pernah bertugas di sebuah syarikat penerbitan majalah.


ANTARA hulu keris menarik dan mempunyai nilai seni yang tinggi yang dihasilkan Syed Muhammad. - Foto Samadi Ahmad

Bapa kepada seorang anak yang berasal dari Kuala Lumpur itu kini boleh dianggap sebagai 'pandai besi' iaitu seseorang yang mahir dalam penghasilan keris, parang dan senjata peralatan besi lain.

Bagi meningkatkan kemahirannya, Syed Muhammad pernah mengikuti ilmu pembuatan pedang samurai di Okinawa, Jepun selama enam bulan dengan menggunakan wang sendiri semata-mata untuk mendalami kesenian itu.

Berkat kesabaran dan kecekalannya, beliau  kini mampu berdikari menguruskan hasil seninya di bengkel yang dinamakan Tempa Pusaka, terletak di Bandar Saujana Putra, Puchong.

Kata Syed Muhammad, keris yang dihasilkannya adalah jenis keris Melayu terdiri daripada Tarong Sebatang, Bahari, Melayu Bugis, Pandai Saras dan Melala, yang mempunyai perbezaan dari segi saiz, keluk dan pamor.

Jelas beliau, proses membuat keris bermula daripada menempa, membentuk, mengikir, menyepuh dan mengukir pada bahagian sebilah keris.

Mengenai pasaran keris, Syed Muhammad berkata beliau tidak putus menerima tempahan orang ramai termasuk daripada peminat keris luar negara termasuk dari Belanda, United Kingdom dan Australia.


KAYU dari jenis kemuning emas sesuai dijadikan sarung keris. - Foto Samadi Ahmad

PROSES pemotongan kayu dilakukan menggunakan mesin bagi menghasilkan sarung. - Foto Samadi Ahmad

Bagi pembuatan sarung pula beliau memilih kayu kemuning emas, sena, leban, burl dan jati jembol kerana ia mempunyai daya ketahanan yang lama.

Atas kegigihan dan kesabaran tinggi beliau memartabatkan hasil seni ini, Syed Muhammad pernah dianugerahkan tempat pertama dalam Pameran Kraf yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2014 melalui ciptaan parang 1Malaysia yang dihasilkannya.

Katanya, mengumpul senjata juga menjadi hobinya sejak remaja dan berikutan minatnya yang mendalam terhadap senjata Melayu, beliau kini sudah mengumpul lebih daripada 200 bilah keris pelbagai bentuk.

"Pada zaman teknologi ini tidak ramai anak muda yang mempunyai minat terhadap barang bersejarah seperti keris kerana mereka lebih cenderung kepada barangan elektronik dan gajet terkini.

"Justeru, saya khuatir warisan ini akan hilang dan anak bangsa tidak berpeluang lagi mengenali senjata paling penting dalam sejarah bangsawan Melayu apatah lagi pelbagai jenis keris yang ada.

  "Bagi memastikan kemahiran ini tidak pupus, perasaan cinta terhadap seni Melayu ini saya sudah mula terapkan kepada anak lelaki saya, Muhammad Saif Az Zuhair, walaupun baru berusia hampir dua tahun. Alhamdullilah, beliau menunjukkan minat," katanya.

253 dibaca
Berita Harian X