Jumaat, 22 Januari 2016 | 3:57pm

BBCC terima FDI RM2.1 bilion


JOHARI (tengah) berbincang bersama Richard (kiri) ketika majlis Perasmian Galeri Jualan Baru di Laman BBCC hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bukit Bintang City Centre (BBCC), projek ikonik baharu negara menerima pelaburan berjumlah RM2.1 bilion bagi pembangunan fasa pertama projek itu yang dijangka dimulakan pada pertengahan tahun ini.

Pelaburan langsung asing (FDI) dari dua konglomerat Jepun iaitu Mitsui Fudosan Co Ltd dan Sony Music masing-masing membabitkan jumlah RM2 bilion dan RM100 juta.

Pengerusi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), Tan Sri Liew Kee Sin, berkata suntikan FDI daripada firma asing itu bakal menjadi faktor untuk konsortium BBCC Development Sdn Bhd (BBCCD) membabitkan UDA Holdings Bhd, EcoWorld dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik lebih banyak pelaburan ke projek berkenaan.

"Pelaburan Mitsui Fudosan akan membabitkan pembangunan pusat beli belah di BBCC, manakala Sony menerusi anak syarikatnya, Zepp Hall pula akan melabur dalam membangunkan dewan hiburan yang dapat memuatkan 2,700 penonton dengan sistem audio tercanggih pertama di Malaysia dan pertama di luar Jepun.

"Sekarang ini BBCCD hanya memeterai memorandum persefahaman (MoU). Proses memuktamadkan perjanjian semakin hampir diselesaikan dan sebaik saja perjanjian dimeterai Jun depan, kami akan melancarkan projek BBCC pada bulan sama," katanya selepas majlis pelancaran galeri jualan BBCC di sini, hari ini.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BBCCD, Datuk Richard Ong; Pengerusi UDA Holdings, Datuk Mohd Shafei Abdullah; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.

Projek BBCC dimiliki konsortium BBCCD membabitkan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) dan UDA Holdings Bhd yang masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menguasai baki 20 peratus.

Fasa pertama projek berkenaan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM4 bilion akan merangkumi pembinaan satu blok dengan ketinggian 45 tingkat untuk pejabat strata membabitkan 350 suite strata; dua blok pangsapuri servis membabitkan 450 unit kediaman; pusat beli-belah berkeluasan 1.5 juta kaki persegi; dan hotel empat bintang dengan 300 bilik; serta 180 unit kediaman berjenama.

BBCCD menjangkakan jualan lot pertama projek pembangunan bercampur dengan anggaran GDV keseluruhan RM8.7 bilion di bekas tapak penjara Pudu, Kuala Lumpur, bermula Jun depan secara berperingkat.

Penjara Pudu dibina secara berperingkat oleh kerajaan Britain antara 1891 dan 1895 serta pernah menempatkan tahanan perang semasa Perang Dunia Kedua.

Kompleks penjara itu ditutup pada 1996 dan dirobohkan pada 2010 bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan itu seluas 7.85 hektar.

BBCCD ditubuhkan untuk memajukan semula kawasan berkenaan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang, apabila EcoWorld, UDA dan KWSP memeterai perjanjian pegangan saham pada 4 Februari tahun lalu bagi bersama-sama melabur dan membiayai projek BBCC.

Kee Sin berkata, kawasan BBCC mempunyai akses kepada pengangkutan awam sedia ada iaitu transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

"Pada masa sama, kami merancang membina kawasan laluan pejalan kaki berbumbung untuk menghubungkan BBCC dengan MyRapid Transit (MRT) yang sedang dalam pembinaan sekarang," katanya.

Mengulas pembabitan EcoWorld dalam BBCC, Kee Sin berkata dari segi GDV, projek berkenaan adalah yang terbesar dimajukan oleh syarikat itu di dalam negara setakat ini, walaupun pihaknya hanya memiliki 40 peratus kepentingan.

"Saya banyak menghabiskan masa di BBCC kerana ia menjadi mercu kebanggaan negara. Tugas saya adalah membantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk memastikan semua perkara berkaitan polisi berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata, model perniagaan EcoWorld pada masa ini masih tertumpu kepada pembangunan perbandaran dengan merangkumi 70 peratus daripada projek yang dimajukannya.

"Bagaimanapun, kami turut memberi perhatian kepada pembangunan taman perindustrian dan 10 peratus lagi adalah pembangunan projek komersial bersepadu seperti pembabitan di dalam BBCC," katanya.

Sementara itu, Richard berkata, pelancaran galeri jualan baharunya untuk kunjungan orang ramai mulai hari ini menjadi satu lagi pencapaian baharu konsortium itu.

Katanya, BBCCD melaksanakan tugas dengan baik dalam memperoleh kelulusan kerajaan bagi membangunkan tapak asal Penjara Pudu.

"Kelulusan kerajaan penting bagi memastikan galeri jualan dapat mempamerkan pelan induk BBCC bertaraf dunia kepada orang awam," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X