Jumaat, 22 Januari 2016 | 12:03am

Hidup tenang tanpa hasad dengki

MASYARAKAT Islam perlu saling tolong-menolong dan tidak mementingkan diri. - Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT: "Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah al-Hashr, ayat 10)

Masyarakat Islam yang sebenar adalah masyarakat yang diasaskan atas rasa kasih sayang, hormat menghormati, tolong-menolong serta saling menghargai antara satu sama lain. Tidak ada tempat bagi fahaman yang mementingkan diri.

Tidak ada suatu yang melapangkan dada, menyejukkan pandangan mata dan menghapuskan kedukaan seseorang itu selain daripada hidup melalui hati bersih, tidak menyimpan dendam, dengki serta sakit hati terhadap orang lain.

Kesejahteraan hati

Kesejahteraan hati adalah satu sikap mulia yang menjadikan seseorang itu tidak mengikat nasibnya, mungkin kerana dia gagal sedangkan orang lain mampu meraihkan sesuatu yang bermakna dalam hidup mereka.

Begitu juga orang lain yang berjaya melakar kejayaan dalam perjuangan hidup sedangkan dia masih tertinggal di belakang. Adalah menjadi satu kerendahan akhlak apabila seseorang membiarkan sifat rakus dan tamak ini menguasai perasaan diri.

Seorang Muslim hendaklah mempunyai pemikiran luas, hati bersih dan akhlak terpuji sehingga dia dapat memandang sesuatu dengan melihat kepentingan umum bukan kepentingan diri sendiri.

Kebanyakan orang yang menyimpan dendam, bergelora dadanya tatkala mereka mendapati apa yang diidamkan terlepas dari tangan dan berada dalam genggaman orang lain. Seseorang yang bercita-cita supaya nikmat diperoleh orang lain itu lenyap dan hilang boleh menjadi virus yang membahayakan kesejahteraan masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak berhimpun di rongga seorang hamba debu medan perang di jalan Allah dengan bahang neraka jahanam. Dan tidak berhimpun di rongga seorang hamba iman dan hasad." (Riwayat Baihaqi)

Manusia terpesong

Seseorang membenci orang lain mendapat nikmat dan ingin melihat kehilangan nikmat itu ialah manusia yang terpesong jalan hidupnya disebabkan kegelapan merintanginya iaitu cintanya kepada dunia serta kesenangan hidup sementara.

Tingkah laku seperti ini adalah satu kesalahan kerana kegagalan memberi penilaian yang tepat mengenai hakikat kehidupan dan alpa untuk menghadapi kehidupan akhirat yang pasti.

Firman Allah SWT: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)." (Surah Yunus, ayat 57-58)

Mukmin sebenar ialah apabila melihat sesuatu nikmat diperoleh seseorang, maka hatinya berasa gembira dan memandangnya sebagai kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.

Rasulullah SAW mengingatkan hal seperti ini dalam doanya: "Wahai Tuhanku, apa yang dilimpahkan ke atasku atau sesiapa saja dari makhluk-Mu adalah datangnya semata-mata dari-Mu, tiada sekutu bagi-Mu. Maka untuk-Mu sahajalah kepujian dan kesyukuran." (Riwayat Abu Daud)

Apabila dia melihat sesuatu bencana menimpa orang lain, terselit di hatinya perasaan hiba sambil mengharapkan Tuhan melepaskan saudaranya daripada bencana itu.

Hati lapang daripada hasad dengki

Dengan cara ini, seorang Muslim akan hidup dengan wajah yang jernih dan hati lapang daripada segala perasaan dendam kerana perasaan dendam atau dengki adalah penyakit yang amat berbahaya.

Islam menegah seseorang itu membiarkan perasaan sakit hati terhadap saudaranya meresap di hati. Ekoran itu, orang yang memendam perasaan akan meluahkan perasaannya kepada orang lain.

Mereka tidak akan berpuas hati selagi tidak memburukkan dan merendahkan saudaranya sendiri.

Anas bin Malik menceritakan, Abdullah bin Amr telah tidur tiga malam berturut-turut di rumah lelaki Ansar yang dipuji selama tiga hari berturut-turut oleh Rasulullah SAW sebagai ahli syurga. Abdullah tidak melihat lelaki itu bangun di tengah malam untuk bersolat, tetapi apabila dia berbalik-balik di tempat tidurnya kelihatan dia berzikir kepada Allah SWT sehingga dia bangkit menunaikan fardu Subuh. Dalam masa berada di rumah itu, Abdullah berkata beliau tidak mendengar daripada mulutnya melainkan perkataan yang baik.

Persoalan kelebihan lelaki itu terungkai apabila lelaki Ansar itu menjawab, "Tiada lain amalanku melainkan apa yang engkau lihat itu saja. Tetapi hatiku tidak pernah menyimpan niat untuk menipu sesiapa saja dari kalangan orang Islam dan aku tidak pernah berasa hasad dengki terhadap suatu nikmat yang diperoleh orang lain."

* Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X