Khamis, 21 Januari 2016 | 8:31pm

Bank Negara turunkan SRR, kekalkan OPR

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) daripada empat peratus kepada 3.50 peratus, berkuat kuasa 1 Februari ini, bagi mengimbangi kesan aliran keluar bersih tunai dari sistem kewangan.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan menyebut, keputusan mengurangkan kadar SRR dibuat sebagai sebahagian usaha menyeluruh BNM bagi memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan domestik mencukupi, sekali gus menyokong fungsi pasaran kewangan yang teratur.

BNM, sejak awal tahun lalu menerusi operasi monetarinya sudah menyediakan mudah tunai kepada sistem perbankan melalui instrumen pasaran wang, termasuk kemudahan repo berbalik atau reverse repo.

"Pada 21 Januari 2016, jumlah mudah tunai adalah sebanyak RM40 bilion. Ini selaras dengan penyelarasan terhadap keadaan mudah tunai domestik ekoran terdapat aliran keluar bersih," katanya.

SRR, satu instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak mewakili pendirian dasar monetari BNM kekal pada kadar empat peratus sejak Julai 2011.

Dalam kenyataan berasingan, BNM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Bank pusat itu berkata, meskipun ekonomi global terus berkembang, pemulihan dalam ekonomi maju tidak sekukuh jangkaan awal, manakala pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun pula menjadi perlahan.

Katanya, keadaan turun naik dan ketidakpastian pasaran kewangan pada masa ini juga menambah risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan.

"Bagi Malaysia, pertumbuhan terus didorong oleh permintaan dalam negeri. Walaupun penggunaan swasta menjadi sederhana berikutan isi rumah membuat penyesuaian terhadap kos sara hidup yang meningkat, perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan guna tenaga yang berterusan.

"Pelaburan secara keseluruhan telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan meskipun pelaburan dalam sektor minyak dan gas lebih rendah," katanya.

Menuju ke hadapan, BNM berkata, meskipun arah aliran terkini menunjukkan eksport akan kembali pulih, sumbangan sektor luaran terhadap pertumbuhan secara keseluruhan dijangka sederhana.

Justeru, katanya, dalam persekitaran yang mencabar ini, ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada tahun 2016, selepas berkembang sekitar lima peratus pada tahun 2015.

"Risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan telah meningkat ekoran ketidakpastian yang lebih ketara pada peringkat global dan dalam negeri.

"Bagi menghadapi persekitaran yang lebih sukar ini, ekonomi Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada sumber pertumbuhan yang lebih pelbagai, ekonomi yang fleksibel, pengangguran yang rendah, paras hutang luar negeri yang terurus dan permodalan sistem perbankan yang kukuh serta pasaran modal maju yang menyediakan akses kepada pembiayaan secara berterusan," katanya.

BNM berkata, berdasarkan kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal memudah serta menyokong aktiviti ekonomi.

Namun, katanya, MPC menyedari terdapat peningkatan risiko dalam persekitaran ekonomi dan kewangan global.

"Risiko ini sedang dipantau dengan rapi bagi menilai implikasinya terhadap kestabilan makroekonomi dan prospek ekonomi Malaysia. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek pertumbuhan keseluruhan yang mampan," katanya.

Berita Harian X