Khamis, 21 Januari 2016 | 2:58pm

Impiana urus resort KCC Development di Senai

KUALA LUMPUR: KCC Development Group (KCC) melantik Impiana Hotels, Resorts, Spas sebagai operator bagi mengendalikan hotel terbaharunya, di Senai, Johor Baharu.

Hotel yang setakat ini dikenali sebagai Impiana-KCC Hotel Senai itu membabitkan nilai pembangunan kasar berjumlah RM50 juta dan baru memulakan kerja pembinaan sejak dua bulan lalu.

Pengarah Eksekutif KCC Group, Ker Soon Yong, berkata hotel berkenaan kini mencapai 10 peratus kerja pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, ia dibina di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar dan berada di lokasi strategik termasuk berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

"Kerja pembinaan setakat ini berjalan mengikut jadual dan kami berharap ia dapat disiapkan pada akhir November ini," katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman antara KCC Hotel dengan Impiana Hotels Resorts Management Sdn Bhd, di Impiana KLCC Hotel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Impiana Hotels, Resorts, Spas, Azrin Kamaluddin dan Pengurus Besar Kumpulan Hotel Impiana, Stephan Gnagi.

Hotel berkenaan menawarkan 200 bilik berkonsepkan moden kontemporari sesuai bagi percutian, urusan perniagaan dan keluarga selain turut menyediakan  kemudahan lain seperti kolam renang, spa, outlet makanan dan minuman bertaraf antarabangsa.

Berita Harian X