Khamis, 21 Januari 2016 | 12:32pm
BEKAS Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard). - Foto Zunnur al Shafiq

Chegu Bard diarah bayar ganti rugi RM50,000

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Chegu Bard membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus, kerana memfitnahnya.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang membuat keputusan di dalam kamarnya, turut memerintahkan bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, membayar RM10,000 sebagai kos tindakan kepada plaintif.

Peguam Mohd Nazree, Hazwan Mohd Nor, berkata hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM40,000 dan ganti rugi teruk RM10,000.

"Keputusan ini dibuat selepas hakim mempertimbangkan kerosakan terhadap nama plaintif dan tekanan mental dihadapinya selain tulisan fitnah yang masih boleh dibaca serta ketiadaan permohonan maaf daripada defendan, " katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Mohd Nazree yang kini Timbalan Pengerusi Biro Intergrasi Nasional PKR, memfailkan saman fitnah terhadap Badrul Hisham, 36, di Mahkamah Tinggi Seremban di sini pada 20 Oktober 2014, membabitkan kenyataan defendan yang memfitnahnya ketika pemilihan parti itu.

Berita Harian X