Khamis, 21 Januari 2016 | 11:48am

Dua tukang urut ditahan salah guna pas lawatan

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen negeri menahan dua wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat refleksologi di sekitar Jalan Putra, dekat sini, malam tadi.

Dua wanita tukang urut membabitkan warga Thailand dan China berusia 42 dan 44 tahun itu, ditahan selepas masing-masing dikesan melanggar syarat pas lawatan sosial mereka.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim, berkata dalam serbuan jam 9.45 malam itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Dua wanita tukang urut terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963, sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik, dekat sini, manakala lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, " katanya.

Berita Harian X