Khamis, 21 Januari 2016 | 11:22am

Usul mesyuarat khas Parlimen mengenai TPPA dikeluarkan esok

KUALA LUMPUR: Usul bagi Malaysia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dibahaskan pada Mesyuarat Khas, Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas 2016 minggu depan, akan dimuatkan ke dalam aturan urusan mesyuarat esok.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, berkata notis berhubung mesyuarat khas itu sudah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen pada 7 Januari lalu yang memaklumkan bahawa sidang khas Dewan Rakyat akan berlangsung pada Selasa dan Rabu depan.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu akan berlangsung seperti waktu biasa persidangan bermula pada jam 10 pagi hingga 5.30 petang, melainkan ada usul untuk melanjutkan tempoh mesyuarat ke waktu ditetapkan.

"Ia bergantung kepada jumlah Ahli Parlimen yang akan berbahas berdasarkan persetujuan Speaker Dewan Rakyat, kalau ada lanjutan maka pihak kerajaan akan usulkan lanjutan waktu sidang," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Roosme berkata, dokumen lengkap berhubung TPPA sudah diberikan kepada semua Ahli Parlimen sebelum mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 ditangguhkan pada Disember tahun lalu.

"Sebelum mereka (Ahli Parlimen) beredar, setiap orang menerima dokumen TPPA, dan Ahli Parlimen juga mempunyai beberapa sesi dalam kalangan mereka (untuk berbincang mengenai TPPA), termasuk sesi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," katanya.

Berdasarkan takwim Parlimen, Mesyuarat khas Dewan Negara akan menyusul sehari selepas Mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membincangkan sebelum meluluskan usul bagi Malaysia menyertai TPPA.

Malaysia adalah antara 12 lagi negara bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan berkaitan TPPA pada 5 Oktober lalu.

Kali terakhir Parlimen mengadakan persidangan khas, iaitu di luar waktu penggal persidangan, adalah pada 23 Julai 2014, iaitu sidang tergempar bagi membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun sama yang mengorbankan 298 nyawa.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk. - BERNAMA

Berita Harian X