Khamis, 21 Januari 2016 | 7:09am
PATI membeli MyKad palsu daripada beberapa sindiket yang membolehkan mereka menikmati kemudahan seperti rakyat Malaysia. - Foto fail NSTP

MyKad palsu dijual serendah RM200

KUANTAN: Serendah RM200. Itu harga didakwa pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membeli MyKad palsu daripada beberapa sindiket yang membolehkan mereka menikmati kemudahan seperti rakyat Malaysia.

Ia dikesan dalam operasi bersepadu membabitkan 60 anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di sekitar Balok di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi itu bermula jam 1 sehingga 5 pagi, beberapa PATI berketurunan Suluk dari Filipina mengakui membeli Mykad berkenaan daripada sindiket di Kuala Lumpur, Perak dan Sabah dengan harga antara RM200 sehingga RM300.

Seorang lelaki dari Mindanao, Selatan Filipina yang berusia dalam lingkungan 20-an mengaku membeli MyKad dengan harga RM300 daripada seorang individu di Perak dan ia membolehkannya mendapat pekerjaan sebagai buruh di daerah ini.

Pemeriksaan MyKad dibelinya pada sistem JPN mendapatinya palsu dan ia sebenarnya ada milik seorang lelaki yang beralamat di Tuaran, Sabah tetapi ditukar alamatnya di Kampung Balok Pantai, Kuantan.

Dalam operasi berkenaan, dianggarkan lebih 70 PATI dari Filipina dan Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan yang sah dan memiliki MyKad palsu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Mohd Yazid Ramli, berkata operasi dilakukan selepas membuat risikan sejak beberapa bulan lalu dan mengesan pelbagai kesalahan terutamanya penggunaan MyKad palsu.

"Kita akan siasat dakwaan pembelian MyKad palsu untuk kita mengesan sindiket menjualnya, tindakan akan diambil selepas itu.

"Pada masa ini, kita akan ambil tindakan mengikut kesalahan dibuat. Mereka akan dibicarakan di sini sebelum dihantar pulang ke negara asal," katanya. Turut mengikuti operasi itu Pengarah Jabatan Imigresen Pahang, Zamree Ramli.

Berita Harian X