Rabu, 20 Januari 2016 | 11:57am

Terengganu salur bantuan kepada pesakit kronik

PEHIMI (kanan) memakaikan tali pinggang kerusi roda kepada Muhammad Syafi di rumah pesakit berkenan di Taman Selasih, Kampung Padang Landak dekat Jerteh malam tadi. Turut berkongsi kegembiraan ialah ayah pesakit Mohd Syarizan Ibrhaim (dua dari kiri). - Foto BERNAMA

BESUT: Kerajaan negeri Terengganu akan terus menyalurkan bantuan kepada pesakit kronik walaupun negara sedang mengalami kemerosotan ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff, berkata buat masa ini sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk tujuan itu dan ia diperoleh menerusi syarikat serta kerajaan negeri.

"Penduduk yang memerlukan bantuan masih boleh membuat permohonan untuk diteliti oleh kerajaan negeri sebelum diluluskan mengikut kemampuan, " katanya kepada BERNAMA selepas menyerahkan bantuan kerusi roda kepada kanak-kanak penghidap kanser, Muhammad Syafi Mohd Syahrizan.

Muhammad Syafi, 7, anak pasangan guru dari Taman Selasih, Kampung Padang Landak, Jerteh di sini, mula dikesan menghidap penyakit 'infantile fibrosarcoma' pada pertengahan tahun 2014 dan sehingga kini terpaksa menjalani rawatan khas di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

Bapanya, Mohd Shahrizan Ibrahim, 39, berkata dia dan isterinya, Norzuriana Madri, bersama-sama mengeluarkan perbelanjaan lebih RM5,000 sebulan untuk pembelian ubat-ubatan serta makanan khas untuk anak keempat daripada lima beradik itu.

Katanya, kanser anaknya itu jelas dapat dilihat dengan ketumbuhan yang berlaku pada bahagian bawah dagu kirinya dan walaupun menjalani rawatan, ia tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Berita Harian X