Selasa, 14 Oktober 2014 | 8:26pm

AIM sasar pembiayaan RM2 bilion tahun depan

KUALA LUMPUR: Hampir semua daripada lebih 347,000 penerima bantuan di bawah skim pembiayaan kredit mikro Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membuat pembayaran balik sejak skim itu diperkenalkan 25 tahun lalu.

Ahli Lembaga AIM, Aizul Fidy Kamarudin, berkata agensi itu mengeluarkan pinjaman keseluruhan bernilai RM11.2 bilion kepada 347,084 golongan miskin untuk memulakan kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran sejak skim mikro kredit itu diperkenalkan pada 1989.

"Daripada segi pembayaran balik, kita masih berada di tahap baik iaitu sekitar 99 peratus.

"AIM bukan saja hanya sekadar institusi mikro kredit, bahkan ia mengorak langkah dengan menambah program latihan dan pembangunan keusahawanan yang komprehensif," katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara AIM dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, 85 pelajar Taylor's University akan dilatih AKPK dengan ilmu pengurusan wang dan pengawalan hutang, yang mana pelajar berkenaan kemudian akan menabur khidmat membimbing 25 sahabat AIM terpilih secara percuma.

Memeterai MoU itu, AIM diwakili Pengarah Urusan, Norsharizal Masharin manakala AKPK oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Azaddin Ngah Tasir.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, AIM sudah mengeluarkan pembiayaan bernilai RM1.4 bilion daripada sasaran tahun ini sebanyak RM1.9 bilion. AIM menyasarkan pengeluaran pembiayaan RM2 bilion tahun depan.

AIM ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara Perjanjian AIM dan didaftarkan di bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952 (pindaan 1981) (Akta 258).

Penubuhan AIM adalah lanjutan daripada kejayaan Projek Ikhtiar yang dilaksanakan Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia dari tahun 1986 hingga 1987 di Barat Laut Selangor.

764 dibaca
Berita Harian X