Selasa, 19 Januari 2016 | 8:27pm

TPPA landasan terbaik PKS terokai pasaran global


PENGERUSI PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM4 juta kepada Norazizah Omar sempena program lawatan bersama Kumpulan Usahawan PUNB Perak di sini. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Dzulkifli Fadzilah (kiri) dan Pengerusi Kelab Usahawan Negeri Perak, Datuk Che Umar Yatim. - Foto Supian Ahmad

TAIPING: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) boleh menjadi landasan terbaik untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya dalam kalangan Bumiputera untuk memperkembang perniagaan mereka di peringkat global.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata ia kerana perjanjian itu memberi peluang kepada pengusaha PKS tempatan menembusi pasaran bukan sahaja di rantau ini tetapi juga rantau Amerika Utara dan Selatan.

"Perjanjian ini akan membuka pasaran dan peluang kepada usahawan tempatan untuk melihat serta mengenal pasti lebih mendalam pasaran global.

"Usahawan khususnya di bawah PUNB seharusnya melihat ini sebagai peluang meluaskan perdagangan serta pasaran di rantau ini dan global," katanya pada sidang media selepas mengadakan dialog bersama pengusaha PKS di kawasan Kamunting, di sini, petang tadi.

Mohd Ali berkata, usahawan tempatan tidak harus gentar dengan TPPA berikutan perjanjian itu menyebelahi PKS dan dasar kerajaan.

Sementara itu, katanya, PUNB sudah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM2 billion kepada 6,007 usahawan sejak agensi itu ditubuhkan pada tahun 1991.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, PUNB mengeluarkan sebanyak RM260 juta pinjaman kepada 633 usahawan dan dijangka sebanyak RM273 juta dikeluarkan bagi membantu sekurang-kurangnya 607 usahawan sepanjang tahun ini.

Berita Harian X