Selasa, 19 Januari 2016 | 1:46pm

Program biodiesel B10 dibentang kepada Kabinet bulan depan

KUALA LUMPUR: Dokumen akhir bagi pelaksanaan program biodiesel B10 dijangka dikemukakan kepada Kabinet pada penghujung Februari ini untuk keputusan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ketika ini kementeriannya masih menyiapkan laporan dan kajian akhir serta berunding dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan input menyeluruh.

Pelaksanaan B10 mampu meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah tempatan sebanyak sejuta tan setahun.

"Program B7 sudah dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2015, menggunakan 575,000 tan minyak sawit setahun. Ia juga menyumbang ke arah mengurangkan kebergantungan kepada petroleum, diesel serta pelepasan gas rumah hijau (GHG).

"Adunan nisbah yang lebih tinggi 10 peratus (B10) biodiesel dijangka menjana sentimen positif ke arah meningkatkan harga minyak sawit," katanya ketika berucap merasmikan seminar 'Palm Oil Economic Review & Outlook' 2016, di sini semalam.

Yan turut hadir, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ar Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan pasaran komoditi negara terus stabil susulan kejatuhan harganya disebabkan kelembapan ekonomi dunia serta iklim ekonomi tidak menentu ketika ini.

Beberapa langkah juga, katanya, sudah diambil kerajaan bagi meningkatkan prestasi industri sawit dari sektor huluan ke hiliran seperti pelaksanaan Skim Insentif Tanam Semula Sawit (SITS).

Berita Harian X