Selasa, 19 Januari 2016 | 1:02pm

Kerusi BN mungkin bertukar antara parti komponen: Adenan Satem


KETUA Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem,bersama penulis buku "Anak Kampong" Datuk Lily Yong (tengah) di Majlis Perasmian buku Anak Kampong,di Hotel Hilton Kuching. - Foto nadim Bokhari

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi di antara parti komponen BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), tidak lama lagi.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan buku 'Anak Kampung', di sini sebentar tadi, beliau berkata rundingan masih dilakukan bagi mendapatkan konsensus pembahagian kerusi terbabit.

"Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tiada masalah, namun ada sedikit kesukaran dengan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

"Jika anda berada di tempat saya, pastinya situasi antara parti berkenaan menyulitkan," katanya.

TERAS adalah parti serpihan SPDP yang kini diketuai bekas Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom, manakala UPP parti serpihan SUPP yang diasaskan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Wong Soon Koh. Kedua-dua parti itu mengumumkan mereka mesra BN.

Berita Harian X