Selasa, 19 Januari 2016 | 6:58am

STMB, CJ O Shopping kendali perniagaan beli-belah dari rumah


KETUA Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Mohamad Ariff Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, syarikat pelaburan media bersepadu utama tempatan melalui anak syarikat milik penuhnya, Sistem Televisyen Malaysia Bhd (STMB), menubuhkan syarikat usaha sama dengan firma Korea Selatan, CJ O Shopping Co Ltd.

Syarikat usaha sama yang ditubuhkan menerusi pemeteraian Perjanjian Kerjasama (JVA) adalah bagi membentuk dan mengendalikan perniagaan beli-belah dari rumah di negara ini.

Struktur pegangan saham syarikat usaha sama itu menyaksikan STMB menguasai 51 peratus kepentingan, manakala CJ O memegang baki 49 peratus.

Komitmen kewangan syarikat usaha sama itu akan dibiayai daripada dana janaan dalaman dengan modal terbitan dan berbayar RM65 juta dibahagikan kepada saham biasa bernilai RM1 sesaham.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Mohamad Ariff Ibrahim, berkata syarikat berbesar hati untuk bekerjasama dengan CJ O bagi menawarkan pengalaman beli-belah di rumah yang baharu kepada rakyat Malaysia.

Katanya, kerjasama itu akan menyaksikan STMB dan CJ O mengoptimumkan gabungan kekuatan dan pengalaman dalam bidang masing-masing iaitu penyiaran televisyen serta isi kandungan di Malaysia bagi pihak STMB dan perniagaan beli-belah di luar di peringkat antarabangsa bagi pihak CJ O.

"Perjanjian ini adalah bertepatan dengan pelan strategik Media Prima untuk mengenal pasti dan merealisasikan peluang pendapatan baharu bagi kumpulan," katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Tarikh pelancaran perniagaan beli-belah di rumah itu akan diumumkan kemudian.

CJ O secara dasarnya terbabit dalam perniagaan beli-belah di rumah. Ia ditubuhkan di Korea Selatan pada 1994 dan disenaraikan di pasaran saham KOSDAQ.

Berita Harian X