Isnin, 18 Januari 2016 | 7:23pm

Pelajar hilang kaki dilanggar lori


SEORANG pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, dekat sini, putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca

SABAK BERNAM: Seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, putus kedua-dua belah kaki di bawah paras lutut selepas digilis lori dalam kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, membonceng motosikal ditunggang kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama yang cuba memintas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa itu dalam perjalanan dari sekolah sama untuk pulang ke rumah di Parit 16, Sungai Panjang.

"Akibat pergeselan itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya, manakala kakak tirinya tercampak ke kiri jalan.

"Siti Nuraisyah yang tidak sempat mengelak, digilis sebuah lori yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kakinya terputus, manakala kakak tirinya hanya cedera ringan di badan dan terseliuh kaki kanan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Nor Azmi berkata, Siti Nuraisyah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Nor Azmi meminta pemandu kereta dan lori yang terbabit dalam kemalangan itu menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32242613 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav.

48 dibaca
Berita Harian X