Isnin, 18 Januari 2016 | 4:33pm

20 pelajar cemerlang PT3, UPSR terima sumbangan MAIK


TENGKU Amalin A'ishah Putri menyampaikan anugerah kepada pelajar yang mendapat 11A dalam peperiksaan PT3, Nur Ain Afiqah Zulkifli di Dewan Mumtaz, SMA Tengku Amalin A'ishah Putri. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Seramai 20 pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Pelajar cemerlang itu adalah daripada dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin Aishah Putri (SMATAAP) dan Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin Aishah Putri di sini.

Sumbangan itu disampaikan oleh adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah sempena Majlis Tautan Kasih dan pengurniaan kepada murid cemerlang.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata sumbangan itu adalah sebagai galakan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik mahupun kemahiran.

"SMATAAP adalah antara sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang cemerlang di negeri ini.

"Saya juga difahamkan bahawa sekolah ini mendapat banyak pengiktirafan antaranya Anugerah Teknologi Pendidikan, memperoleh Gred Purata terbaik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 dan tempat pertama dalam pengurusan NILAM," katanya ketika menyampaikan ucapan di sini, tadi.

Dalam majlis itu turut dipersembahkan 'Choral Speaking' oleh pelajar sekolah terbabit yang disampaikan dalam bahasa Arab yang menceritakan mengenai lokasi menarik di Malaysia.

Sementara itu, Pengetua SMATAAP, Zakiah Abdul Kadir, berkata sekolah berkenaan mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) pada tahun lalu.

"SMATAAP semakin berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dan sehubungan itu mengharapkan agar kemudahan prasarana mampu dipertingkatkan.

"Pusat Sumber Sekolah ini dianugerahkan empat bintang dan kini dalam persediaan untuk pertandingan di peringkat negeri pada Jun nanti. Justeru, kami memerlukan sedikit peruntukan sebagai persediaan.

"Begitu juga dengan kemudahan asrama di mana hanya mampu memuatkan seramai 150 pelajar sedangkan kini kami mempunyai 500 pelajar dan mereka yang tidak tinggal di asrama terpaksa berulang-alik dari rumah ke sekolah untuk menghadiri program yang diadakan," katanya sambil menambah permohonan untuk menambah asrama disampaikan kepada MAIK.

Berita Harian X