Isnin, 18 Januari 2016 | 2:55pm

Mangsa dera isteri failkan tuntutan nusyuz

PETALING JAYA: Seorang mangsa dera isteri memfailkan tuntutan supaya pasangannya itu kembali taat kepadanya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini, sebentar tadi.

Plaintif, Abdul Hadi Mohd Ali, 34, menamakan isterinya, Suraini Mat Halim, 34, sebagai defendan dalam tuntutan nusyuz di depan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdul Samah.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan kes itu pada 4 Februari ini dan memerintahkan plaintif memasukkan beberapa fakta dalam penyata tuntutan nusyuz berkenaan selain permohonan tuntutan cerai.

Dalam prosiding sebentar tadi, Abdul Hadi meminta kebenaran mahkamah untuk melafazkan cerai selepas defendan memberitahunya supaya dicerai secara baik namun tidak diizinkan mahkamah kerana tiada tuntutan difailkan sebelum ini.

Abdul Halim menasihatkan plaintif supaya melantik peguam bagi meneruskan kes nusyuz manakala tuntutan cerai dibacakan pada 4 Februari nanti.

Hakim juga menegur defendan yang mengakui tidak membaca penyata tuntutan nusyuz yang diserahkan kepadanya.

Dalam prosiding mahkamah itu pasangan suami isteri itu ditemani ibu bapa masing-masing.

Sementara itu di luar mahkamah, Abdul Hadi memberitahu pemberita beliau akan meneruskan lafaz cerai di luar mahkamah kerana kerenah birokrasi undang-undang menyulitkannya.

"Saya bimbang keselamatan diri saya jika masih bersama Suraini kerana selagi tidak bercerai dia masih ada hak tinggal bersama.

"Sepatutnya pihak pejabat agama menerangkan proses memfailkan tuntutan cerai dan nusyuz boleh dilakukan serentak bukan secara berasingan kerana kes nusyuz mengambil masa yang panjang berbanding cerai," katanya.

Bagaimanapun, defendan yang mendirikan rumah tangga sejak 2010 dan mempunyai dua anak bersama plaintif enggan ditemui pemberita.

BH sebelum ini melaporkan Abdul Hadi membuat laporan polis selepas beliau diancam dengan pisau hanya kerana menegur sikap isteri yang keluar rumah tanpa izin.

Ia susulan pendedahan BH mengenai isu penderaan mental dan psikologi terhadap suami, dikesan sebagai punca kepada kira-kira 70 peratus kes perceraian pasangan Islam di negara ini.

107 dibaca
Berita Harian X