Ahad, 17 Januari 2016 | 7:05pm

Operator kilang maut motosikal bertembung lori

TAPAH: Seorang operator pengeluaran maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Batu 6, Jalan Tapah-Cameron Highlands di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa Muhamad Sofhian Mat Daim, 31, yang menaiki motosikal jenis Yamaha FZ berkonvoi bersama kira-kira 15 penunggang motosikal lain dalam perjalanan dari Shah Alam ke Cameron Highlands untuk menghabiskan cuti hujung minggu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah, berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang terbabas di selekoh sebelum dirempuh sebuah lori yang datang dari lorong bertentangan. 

"Siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Tapah menuju ke Cameron Highlands dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas memasuki ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori. 

"Walaupun pemandu lori sudah cuba mengelak ke kiri jalan namun motosikal mangsa tetap dirempuh. Kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya, di sini. 

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X