Selasa, 14 Oktober 2014 | 3:33pm

5 syarikat Bumiputera di Sabah tembusi pasaran antarabangsa

SANDAKAN: Lima syarikat Bumiputera di negeri ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa hasil program bimbingan khusus di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Lima syarikat itu ialah Coconut Ingredients Sabah Sdn Bhd (santan kelapa), Anita Fragrance Sdn Bhd (produk kosmetik), Innoprise Wood Products Sdn Bhd (perabot taman), C&F Enterprise Sdn Bhd (makanan ringan), Kebun Rimau Sdn Bhd (jus) dan Heera Enterprise (kuih tradisional).

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksport MATRADE, Zulkepli Mohd Perai, berkata sebanyak 174 syarikat di Sabah berdaftar dengan MATRADE dengan 69 milik Bumiputera dan 22 dimiliki usahawan wanita.

Katanya, lima syarikat terbabit dibimbing menerusi Program Pembangunan Eksport Bumiputera dan Program Pembangunan Eksport Wanita.

"MATRADE turut menyediakan pelbagai program dan inisiatif termasuk program promosi perdagangan di luar negara seperti penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa dan misi pemasaran khusus," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Forum Pengeksport yang dilakukan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Edris, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, kebanyakan syarikat di Sabah bertumpu kepada pengeluaran minyak, minyak kelapa sawit dan kraf tangan.

"Kita mahu syarikat di Sabah khususnya IKS (industri kecil dan sederhana) beralih kepada pembuatan dan pengeluaran dengan merangsangkan sektor makanan, minuman dan pengeluaran perabot," kata Zulkepli.

Menurutnya setakat ini terdapat 14,000 syarikat berdaftar dengan MATRADE di seluruh negara.

Katanya, kelebihan syarikat yang berdaftar dengan MATRADE ialah mereka akan diberi khidmat nasihat dan bimbingan supaya mereka lebih memahami keperluan pasaran luar negara.

"MATRADE memberi bantuan contohnya dari segi pensijilan membabitkan keperluan kesihatan dan keselamatan supaya barangan syarikat dapat masuk ke pasaran luar negara," katanya.

Zulkepli berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh syarikat untuk bersaing di luar negara ialah mengembangkan kapasiti pengeluaran dan meningkatkan kualiti produk dari segi penjenamaan, pembungkusan dan standard pengeluaran. - BERNAMA

Berita Harian X