Ahad, 17 Januari 2016 | 5:06pm
Daniel Dion, abang kepada penyanyi terkenal Kanada, Celine Dion, meninggal dunia semalam.

Selepas suami, Celine Dion kehilangan abang pula

MONTREAL: Daniel Dion, abang kepada penyanyi terkenal Kanada, Celine Dion, meninggal dunia semalam, dua hari selepas kematian suami penghibur terbabit, Rene Angelil.

Menerusi kenyataan dikeluarkan jurucakap artis terbabit, Kim Jakwerth, lelaki berusia 59 tahun itu menghembuskan nafas terakhir semalam di sisi keluarga selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.

Kenyataan itu turut menyebut Daniel meninggal di sebuah pusat jagaan, di Terrebonne, Quebec, dekat Montreal.

Pengumuman itu hadir hanya dua hari selepas suami penyanyi berkenaan, Angelil, 73, meninggal di Las Vegas selepas sekian lama bertarung dengan penyakit sama.

Angelil ialah pengurus Dion buat sekian lama yang turut membentuk artis berkenaan daripada penyanyi yang mengembang bakat dalam bahasa Perancis sehingga menjadi antara bintang paling disegani di dunia.

Antara dendangan beliau yang paling diingati ialah My Heart Will Go On yang juga lagu tema filem Titanic.

Daniel Dion, bapa kepada dua cahaya mata perempuan, ialah anak kelapan daripada 14 beradik. Adik-beradik Dion, termasuk Celine, pernah mengadakan persembahan di bar milik orang tua mereka, Le Vieux Baril (The Old Barrel) di pekan Charlemagne, Quebec.

Majlis pengebumian Angelil akan diadakan pada Jumaat di Notre Dame Basilica, iaitu gereja sama yang menyaksikan perkahwinan mereka pada 1994.

Pengebumian Daniel pula akan diadakan beberapa hari kemudian di sebuah gereja di Charlemagne. - AP

20 dibaca
Berita Harian X