Ahad, 17 Januari 2016 | 3:34pm

Ferguson kembali ke United jika Van Gaal dipecat


Sir Alex Ferguson

MANCHESTER: Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson sedang menunggu dan bersedia untuk membantu Ryan Giggs seandainya Louis van Gaal dipecat, lapor Steve Bates dalam akhbar England, Sunday People.

Sekalipun sudah memasuki usia 74 tahun, Ferguson yang bersara sebagai pengurus United pada 2013 dikatakan berhasrat untuk membuat kepulangan semula ke Old Trafford.

Akhbar Sunday People Sport difahamkan dia mungkin bersedia memainkan peranan di belakang tabir bagi membantu seorang lagi legenda United, Giggs yang ketika ini membantu Van Gaal bagi mengharungi baki musim ini seandainya diberi tugas terbabit.

Van Gaal berdepan satu lagi ujian penting apabila dijadualkan bertemu Liverpool di Anfield, malam ini.

Spekulasi kuat mengatakan jodoh pengurus kelahiran Belanda itu tidak berpanjangan seandainya United melakar kekalahan buruk kepada Liverpool.

Sejak melepaskan tanggungjawabnya kepada David Moyes sejurus meletakkan jawatan, Ferguson dikecualikan daripada sebarang keputusan strategik penting yang dibuat oleh kelab itu,

Begitupun, dia masih dihormati dan mendapat sokongan pemilik kelab iaitu keluarga Glazer.

Sekiranya Giggs mengambil alih tugas itu sebelum musim ini berakhir, dia bukan saja akan meminta bantuan Ferguson sehingga penghujung musim namun berkemungkinan lebih daripada itu. - Agensi

14 dibaca
Berita Harian X