Ahad, 17 Januari 2016 | 12:05am

Kawal perbelanjaan negara elak defisit naik


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini. Ramai setuju langkah itu perlu berikutan kejatuhan mendadak harga minyak dunia selain ekonomi China serta dunia yang kurang memberangsangkan. Perhatian umum kini terarah kepada apa yang akan berlaku seperti pemotongan drastik perbelanjaan dan penangguhan projek pembangunan tertentu. Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan komen Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Datuk Johari Abdul Ghani


TIMBALAN Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Ghazali Kori

S: Ekonomi negara tahun ini dijangka tidak banyak berubah, malah lebih mencabar berbanding 2015. Adakah keadaan ini menjadi faktor menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja secara berhemat termasuk pengubahsuaian semula Bajet 2016?

J: Kerajaan terpaksa berbelanja secara berhemat pada 2016 kerana ekonomi negara dijangka berada dalam keadaan yang lebih mencabar berbanding tahun 2015. Antara faktor penyebab adalah kesan kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak, kejatuhan ekonomi negara China serta kelembapan ekonomi dunia selain kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika. Perbelanjaan berhemah ini perlu dibuat bagi memastikan kerajaan mengawal kadar defisit negara kita kepada 3.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jika kita tidak mengawal perbelanjaan kerajaan ini, maka defisit negara akan bertambah besar dan ia juga akan menurunkan atau menjejaskan taraf penarafan negara kita oleh agensi-agensi penarafan antarabangsa seperti Moody, Standard & Poor dan Fitch. Apabila taraf penarafan ini rendah, ia akan menjejaskan usaha kerajaan menarik ramai pelabur asing dari luar negara. Di samping itu, ia juga akan meningkatkan kos pinjaman negara. Ini akan memberi kesan lebih buruk dalam jangka masa panjang. Apabila kurang pelaburan, maka peluang pekerjaan juga akan berkurangan. Di samping itu, kos pinjaman yang meningkat akan menyebabkan kadar pertumbuhan penggunaan juga terjejas dan kos untuk menjalankan perniagaan juga akan bertambah tinggi.

S: Adakah situasi sekarang terlalu sukar hingga terpaksa mengubahsuai semula Bajet 2016?

J: Penyelarasan bajet ini dibuat kerana pada ketika bajet 2016 diumumkan kerajaan, ia menggunakan anggaran harga minyak AS$48 setong tetapi sekarang ini sudah mencecah di bawah paras AS$30. Setiap kejatuhan AS$1 harga minyak, kerajaan dijangkakan akan hilang RM300 juta pendapatan. Ini bermakna jika kejatuhan sekarang ini ialah sebanyak AS$18, bermakna kerajaan akan kehilangan RM5.4 bilion pendapatan negara. Ia satu angka yang besar dan sudah tentu akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan. Sebab itu kita perlukan selaraskan semula perbelanjaan.

S: Sektor manakah yang perlu dikurangkan bajet dan sektor mana yang perlu diutamakan?

J: Perkara ini masih di peringkat perbincangan. Tidak matang sekiranya ia diumumkan lebih awal sedangkan keputusan belum muktamad. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan penyelarasan bajet 2016 pada 28 Januari nanti. Seperti yang diumumkan oleh PM sebelum ini, beliau akan memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat tidak terjejas akibat daripada penyelarasan ini. Pelbagai jenis bantuan kepada rakyat seperti bantuan pendidikan, kesihatan, bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, subsidi berpusat serta lain-lain perbelanjaan rakyat, akan dikekalkan.

S: Itu bermakna, bantuan subsidi akan dikekalkan?

J: Seperti yang saya tegaskan tadi, bantuan kepada rakyat tidak akan terjejas. Mana-mana subsidi atau bantuan seperti bantuan persekolahan untuk pelajar miskin, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan kekal. Semua itu tidak akan terjejas. Jangan risau, itulah komitmen yang dijanjikan PM.


KENAIKAN kos sara hidup termasuk harga barang menyebabkan majoriti rakyat terpaksa 'mengikat perut'. - Foto hiasan

S: Kenaikan kos sara hidup termasuk harga barang menyebabkan majoriti rakyat terpaksa 'mengikat perut' sedangkan pendapatan bulanan masih di takuk lama?

J: Kenaikan kos sara hidup dan harga barang memang sangat dirasakan oleh rakyat berpendapatan rendah. Faktor kenaikan harga barang ini disebabkan oleh sebahagian barang keperluan asas yang dijual, menggunakan bahan mentah yang diimport. Oleh kerana kejatuhan nilai ringgit ini, menyebabkan kos barang berkenan juga meningkat. Ada juga sebahagian peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kepada pengguna dengan alasan pelaksanaan sistem GST (cukai barangan dan perkhidmatan) menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Kos sara hidup yang tinggi ini juga banyak terkesan dari kebolehan rakyat golongan bawahan untuk memiliki rumah kos rendah dan sederhana. Contohnya di bandar-bandar, kebanyakan harga rumah meningkat dengan begitu mendadak sehingga di luar kemampuan rakyat golongan bawahan. Rumah banyak dibina dengan harga RM300,000 ke atas. Apabila golongan bawahan ini tidak mampu membeli, maka mereka terpaksa menyewa. Harga sewaan di bandar juga turut meningkat. Jika seseorang warga kota itu mempunyai gaji sebanyak Rb M2,500 sebulan, hampir 50 peratus akan dibelanjakan untuk membayar ansuran atau sewaan rumah. Baki gaji itu, terpaksa digunakan untuk pengangkutan, makan dan pendidikan anak-anak. Sebab itu, saya menekankan perlu ada campur tangan kerajaan secara serius dan besar-besaran untuk membina lebih banyak rumah PPR atau perumahan awam dengan kadar segera bagi menampung kehidupan rakyat golongan miskin bandar ini. Jika semua tanah kerajaan yang boleh dibangunkan rumah kos rendah dan sederhana ini diberi pada pemaju swasta, akhirnya kita akan lihat tidak ada lagi rakyat tempatan golongan bawahan ini boleh tinggal dalam bandar. Dalam jangkamasa panjang kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh rakyat tempatan dalam bandar ini akan diambil oleh pekerja asing kerana rakyat tempatan tidak mampu untuk hidup dalam bandar dengan gaji kecil oleh kerana kos kehidupan yang tinggi. Setakat ini, hampir 50,000 rakyat golongan bawahan dalam bandar ini sedang menunggu untuk mendapatkan rumah PPR atau perumahan awam untuk disewa. Sebahagian daripada mereka terpaksa menyewa bilik bagi meneruskan kehidupan bersama isteri dan anak-anak. Kita lihat banyak tanah milik kerajaan yang terletak di pinggir bandar, telah dijual pada pemaju swasta untuk membina rumah mampu milik yang di luar kemampuan golongan bawahan ini.

S: Adakah hasil cukai GST mampu menampung sebahagian perbelanjaan kerajaan?

J: Hasil kutipan GST ini digunakan semula untuk kepentingan rakyat seperti membiayai perbelanjaan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan bantuan kebajikan. Peningkatan kutipan GST ini dapat menampung sebahagian daripada kehilangan pendapatan hasil minyak akibat kejatuhan harga minyak dunia yang mendadak. Sistem GST adalah satu sistem pencukaian yang sangat cekap dan efisen. Kalau dulu sistem SST banyak kelemahan berlaku sehingga ramai peniaga tidak membayar cukai jualan mereka. Dengan sistem GST, pematuhan pembayaran cukai di kalangan peniaga akan lebih efisen dan hasil kutipan ini disalurkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan. Sebab itu, kalau kita lihat lebih 170 negara di dunia ini menggunakan sistem GST ini. Tetapi masalah yang kita hadapi sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan di mana terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

S: Kelembapan ekonomi global dijangka akan kekal untuk beberapa tahun lagi. Malaysia selaku pengeluar minyak adalah antara yang terjejas kerana bergantung kepada pendapatan sumber ini. Apakah pelan alternatif kerajaan?

J: Kejatuhan harga minyak ini sememangnya menjejaskan pendapatan negara. Harga minyak telah jatuh begitu mendadak dari AS$100 hingga ke paras bawah AS$30 setong. Ini menyebabkan pendapatan negara berkurangan sebanyak RM30 bilion. Harga minyak ini dijangkakan akan terus kekal rendah untuk jangka masa satu atau dua tahun lagi.

Dr Noor Azlan Ghazali


PERDANA Menteri akan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh kerana penyusutan berterusan harga minyak dunia. - Foto hiasan

S: Perdana Menteri akan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari ini susulan penyusutan berterusan harga minyak dunia. Apakah signifikannya Datuk?

J: Saya hendak jelaskan di sini, pengubahsuaian Bajet 2016 bukan langkah penjimatan, sebaliknya ia satu cara bagaimana hendak mengoptimumkan sumber yang ada. Kita perlu mengubahsuai semula bajet kerana berlaku keadaan ketidaktentuan ekonomi yang tinggi. Sebab itu unjuran pendapatan dan perbelanjaan dalam Bajet 2016 perlu diubahsuai semula untuk menentukan bagaimana kita patut berbelanja dan pada masa sama ia membantu merancakkan ekonomi. Pengubahsuaian ini perlu dilakukan bagi melihat apakah kesan pengganda yang wujud dan apa kesannya. Kerajaan tahu dalam unjuran bajet ini, mungkin ada juga perbelanjaan bersifat bocor atau mengalami ketirisan. Ini sesuatu yang merugikan. Oleh itu, dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu hari ini, kita mencari kesan pengganda yang tinggi dan jangka panjang ke atas pertumbuhan ekonomi negara.

S: Apakah perkara atau bidang yang mungkin akan terbabit dalam pengubahsuaian itu?

J: Saya berpendapat semua sektor yang terbabit dalam unjuran Bajet 2016 adalah sama penting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi negara tetapi pengurangan perbelanjaan juga perlu dipastikan ia tidak akan menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Mungkin perbelanjaan bagi elaun perjalanan, pembelian kenderaan dan yang program berbentuk promosi akan dikurangkan kerana ia tidak akan mendatangkan impak begitu besar kepada ekonomi bagi tempoh jangka panjang. Malah saya fikir dari segi penggajian dan saiz, ia tidak akan disentuh dalam pengubahsuaian ini kerana ia bukan satu keutamaan. Ini bererti, pengurangan kakitangan awam juga tidak akan termasuk dalam senarai utama seperti khabar angin baru-baru ini kononnya kakitangan kontrak akan ditamatkan. Justeru, saya berpendapat inilah masa untuk kita 'push' lebih banyak kaedah yang boleh meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dengan menekankan elemen lebih inovatif, berkreativiti dan mengurangkan perbelanjaan. Banyak model boleh dipertimbangkan sebenarnya untuk meningkatkan sistem penyampaian awam ketika ekonomi tidak menentu sekarang.


NAIB Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. - Foto Rohanis Shukri

S: Apakah implikasi yang bakal dihadapi ekonomi negara susulan langkah kerajaan ini, dan sejauh mana ia memberi impak kepada negara serta kehidupan rakyat. Adakah negara boleh bankrap?

J: Tidak. Bagi saya tindakan kerajaan melakukan pengubahsuaian Bajet 2016 ini kerana kononnya negara boleh bankrap adalah amat jauh daripada tahap yang diandaikan. Cuba ambil contoh kalau hari ini kita tengok ada pokok yang segar bugar, kalau ia hendak mati mesti ada tanda-tanda seperti daun menjadi kering, bunganya layu, pucuknya mati dan ada dahan atau ranting yang patah. Ia tidak akan mati mengejut melainkan jika ada faktor lain yang menyebabkannya mati. Begitu juga dengan kewangan kerajaan, kita perlu lihat petanda ekonomi makro. Jika kerajaan sudah hampir bankrap, mengapa pelabur masih datang. Andaian kerajaan akan bankrap kerana membuat pengubahsuaian bajet ini amat jauh menyimpang dan tersasar. Ya, pertumbuhan ekonomi kita perlahan tetapi ia tetap positif. Kita menjangkakan pertumbuhan ekonomi 4.5 peratus dalam suasana ekonomi dunia yang lembap. Kadar defisit kita sekitar 3.1 dan 3.2 peratus..... ini sesuatu yang munasabah. Kedatangan pelabur asing menjadi petunjuk dan tidak membayangkan negara akan jadi bankrap. Kita perlu bersikap adil dalam membuat penilaian ekonomi.

S: Wajarkah kerajaan meningkatkan unjuran defisit belanjawan tinggi sedikit daripada dijangka sebanyak 3.1 peratus pada 2016 tanpa mengakibatkan tindak balas buruk terhadap pasaran seperti disarankan pakar ekonomi?

J: Lazimnya, beberapa tahun lalu kerajaan menumpukan usaha untuk mengurangkan kadar defisit. Kalau kita tengok sejarah ekonomi negara sejak 1997, saya meneliti kadar defisit yang diunjurkan, kerajaan kita sebenarnya berbelanja secara disiplin. Saya dapat menerima jika unjuran defisit dinaikkan sikit. Ia tidak mengapa, saya boleh menerima. Tidak ada nombor ajaib boleh diletakkan ke atas defisit fiskal. Kalau betul ditumpukan kepada tujuan merancakkan ekonomi, tidak mengapa. Jangan kita tafsir defisit itu salah, kerana ia betul dalam keadaan tertentu. Yang penting kita tahu ia untuk tujuan apa. Apa yang akan dibelanjakan. Kita tidak mahu defisit yang tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi atau tidak bersandarkan kepada tujuan yang betul. Setakat ini, sejarah ekonomi negara menunjukkan kadar defisit yang bertanggungjawab. Ia melebar apabila ada kejutan ekonomi dan berpunca dari luar. Sekarang kita berdepan sekali lagi dengan kejatuhan harga minyak yang mana ia akan menyebabkan pendapatan berkurangan tetapi ada ruang meningkatkan kadar defisit tapi perlu terkawal dan berhemah.

S: Apa pandangan Datuk terhadap cadangan penganalisis ekonomi agar kerajaan menyemak semula projek yang dirancang dalam Bajet 2016 dan menangguhkan mana-mana projek yang tidak mempunyai begitu banyak kesan berganda dalam pengubahsuaian Bajet 2016?

J: Saya fikir itu yang perlu kerajaan buat jika ada. Kalau ada unjuran perbelanjaan yang memberi kesan pengganda rendah serta ketirisan yang tinggi dan tidak memberi impak langsung malah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, memang wajar ia difikirkan semula. Malah saya fikir, itu yang akan kerajaan lakukan.

S: Kejatuhan harga minyak ini seolah-olah menjadikan ekonomi Malaysia dalam keadaan tenat. Bagaimana hendak meningkatkan keyakinan pelabur dan rakyat yang Malaysia masih mempunyai kekuatan untuk mengharungi cabaran ini?

J: Saya berpendapat kita sebenarnya amat beruntung kerana sudah menggerakkan usaha melakukan transformasi ekonomi. Seandainya baru hari ini kita hendak menggerakkan usaha transformasi ekonomi, ia sudah terlalu lewat. Perdana Menteri sudah lebih awal membuat dasar transformasi negara. Kesedaran kita untuk berada dalam ekonomi bersaing yang lebih tinggi mendorong kerajaan membuat perubahan struktur dalam konteks hasil negara. Kita tidak mahu bersandar kepada satu komoditi sahaja. Usaha untuk menjadi ekonomi bernilai tinggi itu semua sudah ada. Kita untung kerana melaksanakan dasar transformasi lebih awal. Seruan untuk kita menjadi lebih berinovasi dan kreatif mencari jalan baharu untuk menghasilkan pendapatan negara, melahirkan modal insan lebih canggih tidak pernah putus keluar dari mulut pemimpin negara. Sudah enam tahun ia diseru. Perkataan transformasi sudah menjadi klise kepada semua orang. Kita kini berada dalam 'mood' transformasi. Seperkara yang perlu semua orang sedar, apa yang berlaku hari ini adalah fenomena kejutan ekonomi global. Ini bukan disebabkan kepincangan pengurusan ekonomi negara. Dari tahun 1970-an  sehingga hari ini, semua kelembapan ekonomi Malaysia berpunca daripada kejutan ekonomi luar. Belum ada kelembapan ekonomi Malaysia berpunca daripada kita. Kita perlu beri pujian kepada kerajaan kerana berjaya menguruskan ekonomi Malaysia. Ya memang ada sedikit kelemahan dan tidak sempurna, tetapi kita dihormati. Hari ini, kita semua perlu menerima bahawa ketidaktentuan ekonomi global bukan sesuatu yang luar biasa lagi. Ia sudah jadi normal. Ini dipanggil kebiasaan baharu dalam ekonomi. Dulu-dulu kita tidak pernah dengar pengubahsuaian bajet kerana tiada kejutan ekonomi. Sekarang ia menjadi kelaziman baharu.

S: Goldman Sachs, bank pelaburan global meramalkan harga minyak mentah dijangka jatuh ke paras AS$20 pada tahun ini. Ia akan menjejaskan sumbangan hasil minyak-gas kepada pendapatan negara. Bagaimana kerajaan perlu mendepani ramalan ini?

J: Sebenarnya, hasil perolehan daripada sumber minyak hari ini tidak sebanyak berbanding dulu. Hasil minyak sudah menjadi kurang mendominasi perolehan kerajaan. Saya tidak fikir Malaysia hanya bergantung kepada hasil minyak sahaja. Ada banyak benda lain lagi kita boleh lakukan dan akhirnya kita yang akan melakukan penyesuaian. Sekarang kita sedang dilanda 'ombak besar', maka semua pihak perlu ambil tindakan. Jangan menyerahkan kepada kerajaan sahaja.

S: Antara cadangan dikemukakan penganalisis untuk kerajaan menyerap beban penurunan harga minyak ini ialah dengan menambah satu peratus kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)? Adakah ia wajar atau tidak?

J: Saya rasa langkah itu terlalu awal untuk dilakukan. Kita baru sahaja perkenalkan GST tahun lalu. Masyarakat sudah mula membuat penyesuaian. Justeru, saya fikir dalam pengubahsuaian bajet nanti, terlalu awal untuk melihat GST sebagai satu cara menyerap beban ini. Hari ini keadaan sudah baik selepas kerajaan memperkenal GST, masyarakat semakin biasa dan ia menjadi hasil baharu kepada kerajaan. Kita juga sebenarnya amat nasib baik kerana sudah melaksanakan GST tetapi kalau hendak kaji semula kadarnya, itu bukan satu pilihan terbaik buat masa ini. Saya tidak fikir ia salah satu caranya. Bukan masa yang sesuai. Sebaiknya, jangan sentuh GST tetapi cari kaedah lain. Saya cadangkan kerajaan memberi tumpuan khusus bagaimana hendak menurunkan perbelanjaan mengurus tanpa menjejaskan ekonomi.

Berita Harian X