Sabtu, 16 Januari 2016 | 1:23pm
ERRA bersama pengarah dan pelakon filem Soul Mate. - Foto ihsan instagram Erra

Taufik Batisah 'teman jiwa' Erra Fazira?


ERRA dan komposer Azmeer. - Foto ihsan instagram Erra

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon jelita, Erra Fazira mencetuskan tanda tanya kepada peminat apabila memuat naik fotonya bersama komposer, Azmeer di laman sosial, Instagram, semalam.

Bersama keterangan gambar menyatakan dirinya baru selesai proses memasukkan vokal, namun Erra membiarkan peminat berteka-teki mengenainya.

Selepas dirisik, ibu kepada Engku Aleesya itu memaklumkan, ia adalah projek rakaman terbaharu yang menemukannya dengan penyanyi dari Singapura, Taufik Batisah.

Erra berkata, lagu ciptaan sepenuhnya Azmeer itu diberi judul, Teman Jiwa dan bakal dijadikan runut bunyi untuk filem arahan Prof A Razak Mohaideen, Soul Mate. Filem itu menampilkan Taufik dan Raja Ilya sebagai teraju utama, manakala Erra membawakan watak pembantu.

"Saya teruja dapat kembali bekerjasama dengan Prof Razak. Kali terakhir, saya berlakon di bawah bimbingannya adalah filem, Ngorat yang turut dibintangi Aaron Aziz. Saya seronok kerana filem ini juga menemukan saya kembali dengan beberapa kawan lama.

"Tidak sangka pula, saya seterusnya diberi peluang merakamkan lagu runut bunyi ini bersama Taufik. Proses rakaman dijalankan secara berasingan kerana Taufik terikat dengan komitmen kerjayanya di Singapura. Saya terlebih dulu ke studio, manakala Taufik akan menyusul tidak lama lagi.

"Saya akui agak kekok selepas lama tidak ke studio rakaman, namun abang Azmeer banyak memberikan bimbingan supaya saya selesa," katanya.

Kali terakhir Erra merakamkan suara adalah menerusi lagu duet bersama Awie, Cinta Makrifat, dua tahun lalu. Lagu ciptaan sutradara, Erma Fatima itu dirakamkan untuk Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya yang turut menampilkan Ziana Zain.

Dalam perkembangan lain, Erra yang turut aktif menjalankan perniagaan dalam talian dijadualkan ke Chiang Mai, Thailand untuk menjalani penggambaran filem, Soul Mate bermula 19 hingga 29 Januari ini.

Berita Harian X