Sabtu, 16 Januari 2016 | 11:56am

Yayasan Pasir Gudang lancar bantuan subsidi bas sekolah


KHALED (tiga dari kiri) melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA

PASIR GUDANG: Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) melancarkan program bantuan subsidi tambang bas sekolah bagi tahun 2016. 

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata seramai 800 murid sekolah rendah dan pelajar menengah dari lebih 500 keluarga berpendapatan rendah di kawasan Pasir Gudang akan menerima bantuan berkenaan. 

Beliau yang juga Pengerusi YPG berkata, bagi menjayakan program subsidi selama setahun itu, YPG memperuntukkan RM90,000 dan UMNO Pasir Gudang pula sebanyak RM90,000. 

"Subsidi yang diberikan adalah 50 peratus daripada nilai tambang bulanan mereka yang dianggarkan antara RM20 hingga RM40. Bantuan ini membabitkan 24 zon di kawasan pentadbiran MPPG dengan subsidi bermula Februari ini sehingga November.

"Ia membabitkan 93 pengusaha bas sekolah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2016 di Dewan Serbaguna Taman Mawar, dekat sini, pagi ini.

Khaled berkata, selain membantu keluarga berpendapatan rendah, program itu juga menitikberatkan pendidikan generasi muda. 

"Saya amat berharap selepas program ini dilancarkan, tiada lagi alasan diberikan untuk tidak menghantar anak ke sekolah kerana tidak mampu membayar tambang bas sekolah," katanya.

Berita Harian X