Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:52pm

Bauksit: Tempoh moratorium bermula, pengusaha akur


SEBUAH lori 'hantu' tanpa muatan bauksi meninggalkan kawasan aktiviti perlombongan pada hari pertama bermulanya pelaksanaan moratorium. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Bermula tengah malam tadi, semua aktiviti perlombongan bauksit termasuk di tapak perlombongan dan operasi pengangkutan dihentikan, selaras dengan arahan Kabinet yang mengenakan moratorium selama tiga bulan mulai hari ini.

Semua pemilik tanah, pengusaha bauksit dan pemandu lori akur dengan arahan pemberhentian sementara itu bagi membolehkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan disediakan bagi menangani isu kegiatan perlombongan itu di Pahang.

Tinjauan BERNAMA mendapati tiada aktiviti berlaku di kawasan penyimpanan bauksit sekitar Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sagu dan Kampung Bukit Kubang Badak, Jeram, Beserah.

Jalan yang biasanya menjadi laluan utama lori bauksit ke Pelabuhan Kuantan termasuk Jalan Pintasan Kuantan, Jabor dan sekitarnya juga lengang daripada kenderaan itu.

Malah, lori-lori yang diletakkan di tepi jalan sepanjang Jalan Pintasan Kuantan juga tidak lagi kelihatan, dipercayai telah dipandu pulang oleh pemandu lori yang kebanyakan berasal dari luar Pahang.

Sementara itu, seorang kakitangan Pelabuhan Kuantan berkata, lori bauksit terakhir yang memasuki kawasan pelabuhan adalah pada 11 malam tadi.

"Mereka sudah dapat arahan dan mungkin takut dikenakan tindakan berikutan banyak operasi dilakukan oleh pihak penguat kuasa pada masa ini," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Azri di sini, hari ini.

Polis Pahang telah memulakan operasi penguatkuasaan fasa kedua tengah malam tadi bagi memastikan semua kegiatan perlombongan dan pengangkutan bauksit di daerah ini dihentikan sepenuhnya.

Ia dilaksanakan di sembilan pusat pemeriksaan yang beroperasi 24 jam di lokasi berhampiran kawasan perlombongan bauksit dan laluan lori muatan itu ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini.

Antaranya Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Datuk Rashid, Shahpadu berhadapan pejabat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani ketika dihubungi berkata setakat ini, tiada saman dan penyitaan dilakukan, semua pihak telah mematuhi arahan yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembersihan jalan raya dan kemudahan awam yang terjejas dengan mineral itu kini memasuki hari kedua dengan disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Kuantan dan Alam Flora Sdn Bhd.

Antara kawasan yang terbabit ialah persimpangan lampu isyarat Bukit Goh dan persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pantai Timur, pusat perkhidmatan Tanjung Pasir, dan sekitar jalan rumah kedai Taman Impianku termasuk pondok bas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat perlombongan bauksit di daerah ini. - BERNAMA

Berita Harian X