Jumaat, 15 Januari 2016 | 6:46pm

Suami Celine Dion, Rene Angelil meninggal dunia


SUAMI Celine Dion, Rene Angelil (kiri) meninggal dunia akibat kanser. - Foto REUTERS

MONTREAL: Suami Celine Dion, Rene Angelil, 73, yang menemui bakat diva pop Kanada itu serta menguruskan kerjayanya, meninggal dunia pada Khamis selepas sekian lama bertarung dengan kanser.

Dion, mengumumkan pemergian suaminya itu dalam satu mesej Twitter, mengatakan: "Rene Angelil meninggal dunia pagi ini di rumahnya di Las Vegas selepas bertarung panjang menentang kanser."

Seorang jurucakap penyanyi itu, Marc Olivier, berkata lebih banyak maklumat akan diberi beberapa hari lagi, namun buat masa kini keluarga itu berharap mereka dapat berkabung secara peribadi. Angelil disahkan menghidap kanser tekak sejak tahun 2013.

Berita mengenai kematian Angelil mencetuskan simpati mencurah-curah daripada peminat Dion, dengan nama penyanyi itu berada dalam senarai teratas Twitter di seluruh dunia.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menulis dalam tweet mengucapkan takziah kepada Dion dan enam anak mereka, termasuk tiga daripada perkahwinan terdahulu.

Bandar kelahiran Angelil, Montreal mengumumkan bendera akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan buatnya.

Dilahirkan di Quebec oleh pendatang Lubnan-Syria, Angelil mengenali bakat Dion, 47, ketika penyanyi itu berusia 12 tahun dan berkahwin dengannya pada tahun 1994. Pasangan itu memiliki tiga anak, Rene-Charles, 14, dan pasangan kembar lima tahun, Nelson dan Eddy. - AFP

29 dibaca
Berita Harian X