Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:01am
ANTARA pendatang asing yang ditahan dalam operasi terhadap Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN), Selasa lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
BANGUNAN Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh akan dirobohkan. - Foto Asyraf Hamzah

Rumah terbiar sekitar Pusat Kusta akan dirobohkan segera


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (dua dari kanan) melihat akhbar terbitan NSTP sambil diperhatikan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kanan); Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Chen Chaw Min; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Kumpulan NST, Mustapha Kamil Janor (tiga dari kanan) ketika melawat Balai Berita di Bangsar, semalam. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Semua rumah terbiar dalam kawasan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dekat Sungai Buloh, di sini, yang dikosongkan bekas pesakitnya, sama ada berpindah keluar atau meninggal dunia, akan dirobohkan.

Tindakan meroboh kediaman kosong terbabit disifatkan langkah paling sesuai, mengelak ia terus diceroboh dan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata tindakan merobohkan rumah itu akan dibuat selepas pihaknya  mengenalpasti terlebih dahulu kawasan PKKN yang disenaraikan sebagai warisan negara mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Kita akan bermesyuarat dengan Jabatan Warisan Negara esok (hari ini) bagi mengenal pasti kawasan serta bangunan dalam PKKN yang berada dalam senarai warisan.

"Rumah dan bangunan (kosong) lain yang tidak berada dalam senarai itu, akan dirobohkan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya ketika mengadakan lawatan ke Balai Berita NSTP di Bangsar, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Subramaniam mengulas tindakan yang bakal diambil kementeriannya susulan pendedahan BH mengenai kegiatan warga asing menceroboh rumah terbiar sekitar pusat kusta terbabit sejak lebih 10 tahun lalu.

Laporan BH sejak Isnin lalu, membongkar tindakan warga asing termasuk pendatang tanpa izin yang menjadikan bekas rumah pesakit pusat itu yang terbiar sebagai penempatan serta nurseri haram, menyebabkan PKKN menanggung bil air sehingga hampir RM110,000 sebulan.


LAPORAN BH sejak Isnin lalu, membongkar tindakan warga asing yang menjadikan bekas rumah pesakit kusta yang terbiar sebagai penempatan serta nurseri haram.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin, juga mengesahkan rumah bekas pesakit kusta yang kosong dalam kawasan PKKN, diceroboh warga asing serta menjadi sarang penagih dadah, berdasarkan tangkapan dilakukan sepanjang tahun lalu.

Dr Subramaniam berkata, PKKN adalah sebahagian sejarah perubatan negara dan dunia kerana kajian awal mengenai penyakit dan rawatan terhadap kusta bermula di pusat terbabit.

"PKKN berkeluasan 227 hektar tetapi hanya sebahagiannya sahaja dianggap sebagai warisan negara.

"Perancangan lain terhadap sebahagian tanah di situ akan dibincangkan kemudian, kita selesaikan kes ini (isu pencerobohan) dahulu," katanya.

Beliau berkata, tindakan meroboh perlu kerana laporan dan aduan kepada Jabatan Imigresen berhubung kehadiran warga asing itu bagaikan tidak memberi kesan walaupun pelbagai operasi dijalankan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan sebelum ini, berkata PKKN sudah mengambil langkah mengikut bidang kuasanya dengan memotong bekalan elektrik dan air ke kawasan rumah bekas pesakit di situ.


PAPAN tanda larangan menceroboh tanah di Hospital Sungai Buloh yang tidak diendahkan. - Foto Asyraf Hamzah

ZON yang sudah diarah supaya dikosongkan, diceroboh dan dijadikan nurseri oleh koloni pendatang asing. - Foto Asyraf Hamzah

Bagaimanapun katanya, pengusaha tanaman dan warga asing dipercayai membuat penyambungan secara haram ketika menduduki kawasan itu dan kementerian memerlukan kerjasama pihak berkuasa bagi operasi membanteras mereka dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Subramaniam memberi jaminan operasi peringkat hospital dan klinik kerajaan tidak akan terjejas dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang dijadual dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Januari ini.

Katanya, perkara itu tidak akan berlaku kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan dan pihaknya akan berbincang dengan Perdana Menteri yang mahukan maklumat dari semua kementerian membabitkan pengubahsuaian bajet itu.

"Dalam pertemuan itu, ia memberi peluang untuk menyuarakan apa yang boleh dikurangkan atau sebaliknya dan apa yang boleh ditangguhkan sementara kerana dari segi pengurusan, perkhidmatan dan rawatan, ia tidak boleh dikompromi.

"Kerajaan membayar RM2.3 bilion untuk pembelian ubat-ubatan maka ia tidak boleh diusik. Ia adalah keperluan asas rakyat tetapi penstrukturan pemberian ubat-ubatan dilakukan bagi mengelak pembaziran," katanya.

Berita Harian X