Jumaat, 15 Januari 2016 | 7:52am

Atletico mara biarpun digantung beli pemain

AKSI Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone ketika pasukannya menentang Rayo Vallecano pada perlawanan kedua Copa del Rey, malam tadi. - Foto REUTERS

MADRID: Atletico Madrid melonjak kembali daripada hari yang sukar apabila menempah tiket ke pusingan suku akhir Copa del Rey atau Piala Raja Sepanyol dengan kemenangan 3-0 ke atas Rayo Vallecano.

Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman penggantungan setahun ke atas pendahulu La Liga itu dan lawannya, Real Madrid daripada terbabit dalam tempoh perpindahan bermula Julai ini selepas didapati melanggar peraturan akibat membeli pemain di bawah umur.

Kedua-dua kelab itu memberi gambaran akan membuat rayuan tetapi tidak seperti Real, yang terkeluar daripada saingan Piala itu di awal kejohanan akibat menyenaraikan pemain yang tidak layak, Atletico sepatutnya sekurang-kurangnya boleh berpuas hati apabila dapat mara ke suku akhir.

"Saya bersedia untuk perlawanan ini, jadi kelab sudah menelefon dan menerangkan situasi sebenar. Mereka memaklumkan kepada kami (penggantungan itu) dan kelab akan membuat rayuan," kata pengurus Atletico, Diego Simeone.

"Ia adalah orang di pejabat yang perlu membaiki perkara ini berbanding kami."

Jaringan Angel Correa membantu kelab itu mendahului pada enam minit sebelum waktu rehat.

Dengan kedudukan seri 1-1 selepas perlawanan timbal balik pertama, jurulatih kelab itu memasukkan penjaring terbanyak, Antoine Griezmann daripada bangku simpanan pada 20 minit sebelum berakhirnya perlawanan.

Dan dalam perlawanan kelima berturut-turut, pemain gantian yang di masukkan Simeone itu berjaya menjaringkan gol dengan Geizmann menyumbat gol daripada jarak dekat selepas 10 minit bermain.

Greizmann kemudian menambah gol ke-16 buat dirinya pada musim ini pada minit akhir perlawanan apabila sepakannya daripada jarak jauh berjaya mengatasi penjaga gol Rayo, Yoel.

Pasukan Valencia bimbingan Gary Neville juga melangkah ke suku akhir dengan bergaya apabila mencatat kemenangan 3-0 kepada Granada bagi memastikan menang dengan agregat 7-0.

Neville masih belum merasai kejayaan di La Liga dalam lima percubaan sejak dia mengambil alih kelab itu bulan lalu, tetapi dia kini memenangi setiap tiga perlawanan bagi Piala itu. - AFP

Berita Harian X