Khamis, 14 Januari 2016 | 6:22pm

Fakhrul Razi, Shiha Zikir kongsi kesedihan serangan bom Jakarta


Fakhrul Razi (kiri) dan Shiha Zikir. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Baharu mencari tapak mengembangkan karier seni di Indonesia, penyanyi lagu Senyuman Gelapmu, Fakhrul Razi diuji insiden serangan bom dan tembakan di Jakarta, pagi ini.

Mengesahkan dia selamat, Fakhrul memberitahu BH Online, lokasi kejadian adalah kira-kira 20 minit memandu dari hotel yang menjadi tempat penginapan sementaranya di Jakarta Barat.

"Saya hanya tahu kejadian serangan bom itu selepas ia mula heboh di laman sosial. Ketika itu, saya berada di hotel.

"Tempat kejadian pengeboman agak jauh dari hotel saya. Malah, saya juga tidak mendengar bunyi letupan," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatApps di Jakarta.

Fakhrul yang juga rakyat Brunei berkata, dia mengambil langkah berhati-hati selepas kejadian serangan bom itu bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Selepas kejadian itu, kawalan keselamatan agak ketat. Setiap kenderaan keluar masuk hotel diperiksa terlebih dulu," katanya.

Fakhrul yang baharu saja menamatkan program realiti D'Academy Asia 2015 sebagai pengkritik memberitahu, dia sudah memaklumkan keluarganya di Brunei mengenai keadaannya.

"Keluarga, teman-teman dan Pejabat Kedutaan Brunei di Jakarta ada menelefon bertanya keadaan saya di sini. Saya memaklumkan keadaan saya baik-baik saja.

"Malah, malam ini, saya akan terbang ke Kota Kinabalu, Sabah kerana ada urusan," katanya yang memuat naik status di laman Instagram memberitahu peminat dia selamat selepas kejadian pengeboman itu.

Fakhrul berkata, dia kagum dengan penduduk Jakarta yang terus menjalani kehidupan seperti biasa selepas insiden malang itu.

"Mungkin mereka sudah biasa dengan kejadian seperti ini. Jadi mereka meneruskan kehidupan seperti biasa bagaikan tiada apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, penyanyi tempatan, Shiha Zikir, 28, yang turut bersaing di pentas D'Academy Asia Indosiar dan mendapat tempat ketiga, memuat naik status 'Pray For Jakarta' di laman Instagram sebagai tanda simpati atas insiden itu.

16 dibaca
Berita Harian X